Isu Palestin: Malaysia Gesa Majlis Keselamatan PBB Ambil Tindakan Efektif Laksana Gencatan Senjata

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Malaysia telah menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera serta efektif bagi memastikan gencatan senjata dilaksana serta merta.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Timur Tengah termasuk isu Palestin di New York.

“Saya telah menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Timur Tengah termasuk isu Palestin di New York.

“Saya menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dan efektif bagi memastikan gencatan senjata serta-merta; menyediakan koridor yang selamat bagi tujuan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan dan menolak sebarang sikap pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa dan penetapan standard moral.

“Kita tidak harus membenarkan pembunuhan nyawa yang tidak bersalah berterusan. Tiada lagi kanak-kanak harus mati, menjadi cacat atau yatim piatu. Kita mesti menghentikan peperangan ini. Jangan sekali-kali membenarkan tangan sesiapa pun dicemari dengan darah orang yang tidak bersalah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, tumpuan utama adalah untuk meredakan situasi kemanusiaan di Gaza termasuklah menyediakan akses kemanusiaan tanpa sebarang halangan.

“Malaysia menyeru Majlis Keselamatan untuk mengambil kira suara dunia yang prihatin dan gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan segera. Ini juga merupakan pandangan tegas yang berulang kali dibuat oleh majoriti Negara Anggota PBB, agensi PBB, dan Setiausaha Agung.

“Seharusnya tumpuan utama kita adalah untuk meredakan situasi kemanusiaan di Gaza. Akses kemanusiaan tanpa halangan dan bekalan bantuan kemanusiaan, termasuk keperluan seperti air, makanan, ubat-ubatan serta bahan api di seluruh Gaza harus terjamin.

“Satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian yang adil dan mampan terkait persoalan Palestin adalah dengan memberikan rakyat Palestin hak mutlak untuk menentukan nasib mereka sendiri melalui penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zambry turut berkata sudah tiba masanya untuk memperbetulkan ‘kesalahan sejarah’ kuasa besar yang mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah.

“Seluruh dunia memerhati dan bergantung harap kepada PBB, terutamanya Majlis Keselamatan. Organisasi ini telah lama mengecewakan rakyat Palestin.

“Sudah tiba masanya untuk memperbetulkan ‘kesalahan sejarah’ kuasa besar yang menyebabkan pembunuhan berdarah dan tidak berkesudahan terhadap nyawa tidak berdosa berlaku sejak lebih tujuh dekad dalam sejarah moden.

“Inilah mesej yang jelas, bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, tetapi daripada semua warga dunia yang cintakan keamanan,” katanya lagi.

Konflik antara Palestin dan Israel yang bermula sejak 7 Oktober lalu telah mengorbankan 15,000 nyawa termasuk lebih 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita.

Selepas tujuh minggu berperang, Israel dan Hamas pada 24 November lalu telah memulakan gencatan senjata selama empat hari dengan kumpulan pejuang Islam itu bersedia membebaskan 13 wanita dan kanak-kanak Israel.

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza dilanjutkan lagi selama dua hari beberapa jam sebelum jeda kemanusiaan tamat awal Selasa.

Gencatan senjata sementara itu juga akan membolehkan bantuan memasuki wilayah Gaza yang terkepung. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.