KDN Ambil Berat Hal Ehwal Pesara Polis, Sedia Lima Jenis Bantuan Selain Bayaran Insentif – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengambil berat hal ehwal pesara polis dengan menyediakan lima jenis bantuan selain daripada pembayaran insentif.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pada masa ini Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis (BHEPP) Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pesara polis berdaftar.

“KDN selaku kementerian yang menerajui aspek keselamatan dalam negeri mempunyai peranan amat penting untuk menyediakan platform yang selamat dan aman bagi menyokong pembangunan negara berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan, kemampanan serta memastikan hasrat Agenda Malaysia Madani tercapai.

“Kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil berat kebajikan dan hal ehwal pesara polis dengan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan demi menjaga keselamatan, kedaulatan negara serta ketenteraman awam.

“Buat masa ini, BHEPP Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pesara polis, bekas polis dan waris pesara atau bekas polis yang berdaftar,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Jelasnya, setakat 29 September 2023, seramai 54,603 pesara polis, bekas polis dan waris telah berdaftar di bawah BHEPP.

“Setakat 29 September 2023, seramai 54,603 pesara polis, bekas polis dan waris pesara/bekas polis telah berdaftar di bawah BHEPP yang terdiri daripada 44,889 pesara; 3,148 bekas polis; dan 6,566 waris pesara/bekas polis.

“Antara bantuan yang diberikan kepada pesara polis, bekas polis dan waris pesara/bekas polis adalah bantuan khairat kematian, pergerakan, perubatan, pendidikan dan bencana alam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa bayaran insentif sebanyak RM1,000 akan dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

“Semasa pembentangan Bajet 2024, Perdana Menteri (merangkap Menteri Kewangan) telah mengumumkan Bayaran Insentif RM1,000 dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen. Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024.

“Selain itu, Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 yang diterima oleh Pesara Kerajaan termasuk Pesara Polis yang menerima pencen dan tidak berpencen sebanyak RM350 pada 17 Januari 2023 dan Bantuan Khas Penghargaan Pesara Kerajaan sebanyak RM200 yang telah diterima pada 10 Ogos 2023,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.