Dr Shamsul Sifatkan Pertemuan Dua Hala Malaysia-Thailand Capai Matlamat

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan pertemuan dua hala antara Malaysia dan negara jiran, Thailand yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai matlamat.

Beliau yang turut mengiringi delegasi berkenaan bersama beberapa menteri serta timbalan menteri yang lain pada Ahad seterusnya berkata pelbagai perkara penting yang membabitkan kebaikan serta kepentingan kedua-dua negara menjadi topik perbincangan.

“Mesyuarat dan pertemuan perwakilan antara Malaysia dan Thailand berlangsung setelah selesai pertemuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di Kompleks CIQ Sadao di wilayah Songkhla, Thailand.

“Saya turut mengiringi Perdana Menteri Malaysia selain Menteri Pelancongan, Menteri Kerja Raya, dan kedua-dua Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Luar Negeri. Pelbagai perkara penting yang melibatkan kepentingan dan kebaikan bersama dua negara dibincangkan,” katanya.

Meneruskan perkongsian di Facebooknya, Dr Shamsul seterusnya menambah pertemuan berkenaan tentunya akan dapat meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor serta pelbagai bidang.

“Pertemuan ini tentunya meningkatkan hubungan dua hala dalam empat bidang iaitu perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan serta keselamatan negara.

“Pertemuan ini mencapai matlamatnya. Malaysia sangat menghargai hubungan persahabatan dengan Thailand dan ingin melakukan banyak usaha yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua rakyat Malaysia dan Thailand,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.