Parlimen: Tampin Cadang KPT Beri Pin UPU Kepada Pelajar Dari Keluarga Miskin

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa memberi cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memberikan pin Unit Pusat Universiti (UPU) secara percuma kepada pelajar yang datang daripada keluarga miskin.

Jelasnya, beliau menyokong penuh pendirian kerajaan untuk mengekalkan sistem kuota bagi pelajar Melayu dan bumiputera kerana ianya telah menafikan cubaan pihak tertentu mengapi-apikan isu perkauman di negara ini.

“Saya menyambut baik dan menyokong penuh pendirian Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan sistem kuota bagi pelajar Melayu dan bumiputera dalam pendidikan.

“Perkara ini secara tidak langsung telah menafikan segala cubaan pihak tertentu untuk melaga-lagakan atau sengaja mengapi-apikan isu perkauman di negara ini.

“Mengenai kemasukan para pelajar ke universiti yang perlu membuat permohonan menerusi UPU secara atas talian, apakah perancangan kementerian untuk menambah baik sistem tersebut?” soalnya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, bagi meningkatkan ketelusan sistem pengambilan UPU, beliau turut mencadangkan agar alasan yang jelas dan terperinci dikemukakan bagi permohonan yang telah ditolak.

“Adakah kementerian berhasrat untuk menyatakan bersekali alasan secara jelas dan terperinci bagi semua permohonan yang ditolak supaya dapat meningkatkan ketelusan sistem pengambilan tersebut?

“Pada kesempatan ini, saya ingin mencadangkan agar kementerian memberikan pin UPU secara percuma bagi pelajar yang datangnya daripada keluarga miskin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa sebuah lagi universiti Islam wajar dibina memandangkan terdapat beberapa institusi berkaitan berada di kawasan Tampin.

“Selain itu, saya juga ingin mendapatkan penjelasan. Apakah perkara yang diambil kira oleh kementerian untuk membina sebuah universiti di sesuatu kawasan?

“Hal ini kerana saya konsisten dengan pandangan bahawa sebuah lagi universiti Islam wajar dibina di kawasan Tampin kerana terdapat Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan, MRSM Ulul Albab Gemencheh, Maahad Ahmadi Gemencheh dan dua buah pondok tahfiz di sana,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar pihak KPT memberi penumpuan kepada menaiktaraf fasiliti di universiti.

“Saya ingin mengetahui, ke manakah peruntukan berjumlah 300 juta ringgit bagi tahun depan akan dibelanjakan oleh Kementerian dan bagaimanakah bentuk pengagihannya kepada setiap universiti supaya dapat berlaku adil serta fasiliti jenis apakah yang bakal dilibatkan untuk tujuan naik taraf ini?

“Saya mencadangkan supaya pihak Kementerian memberi keutamaan terhadap fasiliti yang terkait dengan asrama, dewan kuliah dan sebagainya supaya dapat menambah bilangan pelajar di setiap universiti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.