Parlimen: Kerajaan Teliti Projek Lebuh Raya Baharu Tertakluk Pada Kewangan Dan Kesesuaian – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata lebuh raya yang telah disediakan membabitkan lorong motosikal khusus adalah Lebuh raya Butterworth Kulim (BKE), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).

Katanya, Kerajaan pada masa ini tidak mempunyai perancangan untuk membina laluan khas motosikal di lebuh raya yang sedang beroperasi kerana akan melibatkan kos tambahan yang tinggi.

“Skop berkenaan tiada dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan akan meneliti perkara ini dalam rundingan cadangan projek lebuh raya baharu pada masa akan datang tertakluk kepada faktor kewangan dan kesesuaian jajaran.

“Pelbagai inisiatif keselamatan telah dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya bagi meningkatkan aspek keselamatan penunggang motosikal.

“Menerusi program inisiatif Malaysia Madani, KKR sedang membina dan menambah baik tempat teduhan penunggang motosikal (motorcycle shelter) baharu di sepanjang lebuh raya. Inisiatif ini adalah tambahan kepada 353 tempat teduhan motosikal sedia ada,” katanya ketika sesi perbahasan menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Beliau menjawab soalan dari Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu – PN) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan secara terperinci bilangan lebuh raya yang mempunyai akses kepada laluan motosikal dan pelan terkini bagi menaik taraf laluan motosikal di mana-mana lebuh raya yang masih tidak dilengkapi dengan laluan motosikal.

Dalam masa yang sama kata Abdul Rahman sebanyak 119 lokasi baharu telah dikenalpasti untuk dibina tempat teduhan motosikal.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 14 lokasi akan dibina jenis ‘stand alone’ (struktur tunggal) dan 105 lokasi akan dibina di bahagian bawah jambatan. Daripada keseluruhan jumlah tersebut 40 lokasi akan disiapkan secara berperingkat pada tahun 2023, manakala 79 lokasi lagi dijadualkan siap pada 2024.

“Sehingga November 2023, sebanyak 36 tempat teduhan penunggang motosikal baharu telah siap dibina dan baki masih dalam peringkat pembinaan.

“Kempen keselamatan melibatkan penunggang motosikal sentiasa diadakan dari semasa ke semasa terutamanya menjelang musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemanduan berhemah dan aspek keselamatan di lebuh raya,” katanya.

Tambah Abdul Rahman lagi, selain itu audit keselamatan jalan raya juga dilaksanakan bagi mengenalpasti sebarang risiko keselamatan dan tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan kepada cadangan juruaudit keselamatan jalan raya yang bertauliah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.