Banjir: Amizar Ingatkan Warga Pelangai Waspada, Ikut Arahan Pihak Berkuasa

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Biarpun belum secara rasmi menjawat tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kawasan Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam terus melaksanakan tanggungjawab yang dipikul selepas diberi kepercayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai baru-baru ini.

Dengan situasi terkini musim tengkujuh yang melanda pantai timur, beliau dan pelbagai pihak lain telah mengambil beberapa tindakan yang perlu bagi membantu mangsa yang terlibat di kawasan berkenaan.

Semalam, di Felda Sungai Kemahal, Amizar dan pasukannya serta lain-lain agensi turun padang melihat dan membantu mangsa yang terlibat.

“Felda Sungai Kemahal dilanda banjir kilat dan mengakibatkan 35 buah rumah telah mengalami pelbagai isu… antaranya air bawah tanah serta saluran longkang dan parit yang tidak sesuai dibina.

“Pihak saya menyampaikan sumbangan dan turut serta daripada JKM, Felda dan NGO lain yang turut sama terlibat dalam membantu mereka yang dilanda musibah,” katanya.

Beliau seterusnya menambah dalam pertemuan itu juga, pihaknya turut memohon agar mereka yang berada di kawasan yang berisiko dinaiki air untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh yang sedang melanda pantai timur.

“Langkah ini bagi mengurangkan risiko kerugian yang besar sekiranya banjir berlaku, lebih-lebih lagi tentang keselamatan diri dan keluarga kita.

“Ikut arahan pihak berkuasa dan insya allah, saya akan sentiasa ada bersama warga Pelangai. Kita doakan juga kepada semua mangsa banjir dipermudahkan segala urusan dan digantikan musibah banjir ini dengan rezeki yang luas,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.