UMNO Sabah Kekal Utuh, Jeffrey Nor Tolak Dakwaan Wujud Usaha Jatuhkan Parti

KOTA KINABALU, 24 Nov – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffrey Nor Mohamed menegaskan bahawa UMNO Sabah kekal utuh dan terus menyokong kepimpinan ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Pengerusi UMNO Sabah.

Dalam hal ini beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menolak desas-desus yang mengatakan bahawa UMNO Sabah bergolak.

“Kesatuan dan perpaduan di dalam UMNO Sabah terus utuh dan kekal serta terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin. Cakap-cakap di luar adalah tidak berasas dan tidak menunjukkan politik matang.

“Persoalan sama ada wujud ketua-ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang nak menjatuhkan Ketua UMNO Sabah adalah tidak benar sama sekali. Kita memberikan sokongan yang penuh kepada Ketua UMNO Sabah kerana beliau adalah seorang pejuang kepada UMNO di sini,” katanya menerusi siaran dalam media sosial DemiSabah.com.

Katanya buat masa ini UMNO Sabah telah membuat persediaan bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya sudah keliling UMNO Sabah dan kini UMNO Sabah dalam keadaan siap siaga untuk mendepani PRN Sabah jika diadakan bila-bila masa.”

Jelas beliau, dalam konteks Negeri Sabah rasa kebersamaan perlu ada dalam setiap rakyat dengan usaha untuk membangun bersama-sama.

“Saya melihat gambaran bahawa politik Sabah ini mesti berubah, perlakuan fitnah dan politik negatif ini mesti ditolak.

“Dalam konteks Negeri Sabah perlu ada kebersamaan dan mengutamakan kestabilan untuk membangunkan negeri dan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.