Setahun Kerajaan Perpaduan… Ahmad Zahid Lahir Rasa Syukur, Tekad Tambah Baik Polisi Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur kerana pada hari ini genap setahun penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam mentadbir negara.

Ujarnya, banyak perkara dan polisi yang boleh diperbaiki oleh Kerajaan Perpaduan agar semuanya boleh dirasai serta dinikmati rakyat Malaysia.

“Syukur Alhamdulilah. Hari ini, genaplah usia setahun Kerajaan Perpaduan memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat berteraskan Agenda Malaysia Madani.

“Saya pasti banyak yang boleh diperbaiki, banyak juga yang boleh ditambahbaik bagi memastikan dasar serta polisi yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan buat seluruh rakyat Malaysia ini dapat benar-benar dirasai dan dinikmati semua,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kerana sentiasa bersama Kerajaan Perpaduan dan menyeru semua pihak untuk terus bekerja kuat bagi memastikan segala perancangan dapat menjadi kenyataan.

“Saya kongsikan sebahagian daripada perkara yang telah dilaksanakan dan banyak lagi yang berada di dalam perancangan untuk kehidupan rakyat yang lebih sempurna.

“Terima kasih kepada semua yang telah bersama saya sepanjang setahun ini dan marilah kita terus bekerja kuat dalam memastikan segala yang dirancang dapat menjadi kenyataan seterusnya memberi kelebihan buat anda semua. Insya-Allah,” katanya lagi.

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 setahun yang lalu memperlihatkan tiada satu parti pun dipilih rakyat untuk menjadi kerajaan secara mutlak.

Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi, Pakatan Harapan (82), Perikatan Nasional (73), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.