Malaysia Diberi Penghormatan, Terpilih Antara Tiga Wakil Kumpulan Rantau Asia Pasifik Oleh Komanwel – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Malaysia telah diberi penghormatan kerana terpilih sebagai antara tiga wakil bagi kumpulan rantau Asia Pasifik oleh Komanwel, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelasnya, beliau telah mewakili Malaysia pada Sidang Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel, petang semalam.

“Petang semalam saya telah mewakili Malaysia dalam Sidang Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel.

“Sukacita ingin saya berkongsi bahawa Malaysia telah diberi penghormatan kerana terpilih sebagai antara tiga wakil bagi kumpulan rantau Asia Pasifik oleh Komanwel,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, sidang mesyuarat tersebut memberikan tumpuan kepada kedaulatan undang-undang dan beberapa fokus lain.

“Sidang mesyuarat ini memberi tumpuan kepada kedaulatan undang-undang, akses sama rata kepada keadilan, Sustainable Development Goals (SDG) Serra beberapa fokus lain.

“Dalam mesyuarat ini, saya telah berkongsi dengan rakan-rakan sejawat daripada negara-negara Komanwel lain bahawa Malaysia telah mengambil langkah melaksanakan beberapa reformasi institusi dan undang-undang, dan usaha berterusan ini adalah selari dengan objektif Komanwel.

“Saya juga telah menyampaikan pendirian bahawa Malaysia komited dalam pengukuhan Komanwel, rantau Asia-Pasifik dan juga negara kita dalam aspek reformasi perundangan,” katanya lagi.

Sejak Januari lalu, satu Pasukan khas Reformasi Institusi yang dipengerusikan Azalina ditubuhkan bertujuan menjalankan kajian serta senarai cadangan membabitkan reformasi institusi untuk dibentangkan kepada Kabinet.

Selain itu, Azalina juga telah melaksanakan sesi libat urus fasa pertama ke arah usaha reformasi pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya bermula Oktober lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.