PLKN Tidak Akan Dilaksana Pada Tahun 2024, Masih Di Peringkat Kajian – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mungkin tidak akan dilaksanakan pada tahun 2024 memandangkan tiada sebarang peruntukan disalurkan semasa pembentangan Bajet 2024.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PLKN masih berada di peringkat kajian meskipun telah diluluskan oleh mesyuarat Jemaah menteri.

“PLKN masih di peringkat kajian. Ianya telah diluluskan oleh kabinet ataupun Jemaah menteri untuk Kementerian Pertahanan memulakan kajian untuk kita menghidupkan semula PLKN ini.

“Ada pelbagai opsyen yang telah pun kita kaji. Saranan daripada rakan-rakan Yang Berhormat di dalam dewan yang mulia ini untuk membawa bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ada yang telah pun membuat analisis maklum balas.

“Kita akan membawa dan jemput mereka ini sebelum kita membawa semula kertas tersebut ke mesyuarat jemaah menteri untuk diberikan kelulusan selanjutnya sebelum memulakannya,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, sekiranya kem-kem wataniah mahu digunakan sebagai tempat latihan PLKN maka usaha menaiktaraf perlu dilakukan secara ‘one-off’.

“Kemungkinan untuk PLKN ini dilaksanakan semula pada tahun 2024 adalah tidak mungkin kerana tidak diperuntukkan bajet. Kalau kita nak menggunakan kem-kem wataniah seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kita perlu menaiktaraf dahulu kem-kem tersebut secara one-off.

“Ada 13 kem wataniah di seluruh negara. Jadi untuk perincian mekanisme pelaksanaannya, kementerian akan bersama-sama dengan semua pemegang taruh terutamanya pihak NGO-NGO masyarakat dan lain-lain sebelum kita memuktamadkan serta mendapatkan kelulusan untuk menghidupkan program PLKN ini mungkin pada tahun 2025,” katanya lagi.

Pada Oktober lalu media melaporkan Kerajaan akan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan melalui modul berbeza berbanding sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, program berkenaan akan dijalankan di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara.

Ujarnya, langkah itu juga antara lain bagi menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan berbanding sebelum ini yang menelan belanja lebih RM8 bilion. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.