Konvensyen Khas Perkasa Penglibatan KRT Dalam Melindungi Kanak-Kanak – Azalina

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Konvensyen Khas Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia yang melibatkan Persatuan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan diadakan pada suku pertama tahun hadapan sebagai usaha meningkatkan penglibatan komuniti dalam perlindungan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata menerusi konvensyen itu anggota KRT akan dijelaskan mengenai peranan mereka agar dapat menjadi mata dan telinga kerajaan bagi memantau sebarang isu melibatkan golongan rentan itu.

“Dalam konvensyen itu, kita mahu memperkasa peranan KRT untuk mereka faham instrumen, proses membuat laporan, faham undang-undang terutamanya berkaitan Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Ini selari dengan hasrat untuk memperkasa keselamatan kanak-kanak bagi membolehkan mereka melaporkan sendiri sebarang ancaman yang diterima. KRT boleh memainkan peranan meningkatkan kesedaran golongan ini memandangkan mereka berada dalam komuniti sama dengan pelapor (kanak-kanak),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bersama Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia Dr Farah Nini Dusuki di bangunan Parlimen di sini semalam.

Azalina berkata inisiatif kerjasama dengan KRT termasuk platform aduan tersendiri melibatkan kes jenayah dalam komuniti, diharap dapat membantu mengurangkan isu kes-kes berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak yang kurang dilaporkan.

Sementara itu Aaron berkata pihaknya menerusi 8,379 komuniti KRT yang mempunyai gabungan seperti jiran sepakat, jiran muda, jiran wanita dan jiran warga emas sedia memainkan peranan lebih dominan dalam memperkasa keselamatan kanak-kanak dalam komuniti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.