Bantuan Pentadbiran Untuk Belia Peringkat Cawangan, Satu Daerah Satu Balapan – Shamsulkahar

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli mencadangkan agar bantuan pentadbiran diberikan kepada pertubuhan belia di peringkat cawangan melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah.

Menurut beliau dengan adanya bantuan pentadbiran, persatuan-persatuan berkenaan boleh bergerak aktif menjalankan pelbagai aktiviti dan program di kawasan amsing-masing.

”Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah memberikan banyak bantuan kepada golongan belia dengan 16 insentif dalam Belanjawan 2024. Jempol fokus kepada persatuan-persatuan belia akar umbi.

”Pada hari ini didapati persatuan belia tidak aktif dan lesu kerana tidak mempunyai sumber kewangan. Dengan adanya bantuan pentadbiran, persatuan-persatuan ini boleh bergerak aktif menjalankan pelbagai aktiviti dan program. Saya dimaklumkan setakat ini bantuan pentadbiran hanya diberikan kepada persatuan belia di peringkat negeri dan daerah sahaja.

“Adakah pihak kementerian mempunyai perancangan untuk memberi bantuan kewangan kepada persatuan-persatuan belia di peringkat cawangan,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan, semalam.

Shamsulkahar seterusnya menambah di bawah Visi Sukan Negara 2030, inisiatif menaiktaraf fasiliti sukan, kerajaan dicadang membina balapan di seluruh negara dengan konsep satu daerah satu balapan, yang mana pihak kementerian boleh memilih daerah yang berpotensi melahirkan atlet-atlet sekaligus dapat mencungkil ramai bakat baharu dalam acara balapan.

“Saya mencadangkan projek rintis satu daerah satu balapan ini boleh dilaksanakan di parlimen Jempol memandangkan ramai anak muda yang berbakat contohnya, daripada dua buah sekolah yang cemerlang dalam acara balapan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor  dan Sekolah Menengah Chi Wen.

“Rekod kedua-dua buah sekolah ini telah menjangkau puluhan tahun dimana atlet-atletnya menjadi johan di peringkat Daerah dan Negeri. Di samping itu, terdapat beberapa lokasi yang sesuai untuk dibina balapan di parlimen Jempol,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.