Rai Dan Santuni Suara Anak Muda, Manndzri Cadang KBS Wujud Dasar Remaja Negara

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Dasar Remaja Negara bagi meraikan suara dan menyantuni mereka.

Jelasnya, Majlis Perundingan Belia Negara yang bakal berlangsung tidak lama lagi juga perlu dilakukan di peringkat daerah agar suara anak-anak muda sampai kepada pihak sepatutnya.

“Tenggara ingin menyentuh berdasarkan pengalaman saya Yang Berhormat Menteri, kemungkinan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) ini terdapat juga di dalam peruntukan belanjawan ini.

“Jadi, saya ingin menyentuh supaya KBS melihat kepentingan dan keperluan MPBN ini bukan sahaja dilakukan di peringkat kebangsaan dan negeri malah dibuat juga di peringkat daerah seperti sebelum-sebelum ini supaya tiada sesiapa pun tercicir.

“Pandangan dan pendapat anak-anak muda berkaitan semua isu seperti sosial, pendapatan, pekerjaan, ekonomi dilibatkan di bawah Majlis Perundingan Belia Daerah, diangkat ke peringkat negeri barulah dibawa ke peringkat kebangsaan. Jadi, kita meraikan suara anak muda,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, KBS jga perlu bersedia dengan proses transisi untuk pelaksanaan Dasar Belia Negara yang melibatkan individu bawah 35 tahun.

“Seperkara lagi adalah pelaksanaan Dasar Belia Negara yang difahamkan bakal dilaksanakan melibatkan individu bawah 35 tahun. Saya cuma ingin mencadangkan agar pihak KBS bersedia dengan pelan transisi untuk pelaksanaan dasar ini kerana ia tidak boleh diumumkan sahaja ataupun dilaksanakan sedemikian.

“Mestilah ada dasar-dasar tertentu kerana transisi ini penting untuk menyediakan mekanisme dan kesiapsiagaan generasi.

“Saya turut mencadangkan agar diwujudkan Dasar Remaja Negara di bawah 25 tahun yang memungkinkan aktivis-aktivis Dasar Belia Negara membantu KBS untuk menggerakkan program di bawah Dasar Remaja Negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa pembangunan belia yang lebih konstruktif dari zaman sekolah dapat dilakukan sekiranya terdapat elemen KBS di sekolah.

“Tenggara harap, pihak kementerian boleh berbincang menggunakan konsep emboss juga, transform sekolah-sekolah di kawasan luar bandar ini menjadi pusat pembangunan dan kecemerlangan belia di peringkat komuniti.

“Jadi, dengan cara demikian belia boleh disantuni. Kita tahu, belia banyak menghabiskan masa mereka di sekolah. Sekiranya ada elemen KBS di sekolah, saya rasa pembangunan belia lebih konstruktif dapat bermula dari zaman sekolah lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.