Naik Taraf Fasiliti Sukan Di Tampin, Lahir Atlet Pelapis Masa Hadapan – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meminta pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk menaiktaraf fasiliti sukan di parlimen tersebut bagi bertujuan melahirkan para pelapis atlet pada masa hadapan.

Tegasnya, beliau menyambut baik tindakan kerajaan yang memperuntukkan dana tahunan sebanyak RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan menggesa agar peruntukan pentadbiran kepada Majlis Belia Daerah (MBD) dikembalikan.

“Saya menyambut baik tindakan kerajaan yang memperuntukkan dana tahunan sebanyak RM5 juta kepada MBM. Namun saya ingin mendapatkan kepastian dan penjelasan daripada pihak kementerian mengenai status peruntukan tahunan kepada MBD.

“Persoalan saya, mengapakah peruntukan pentadbiran sebanyak RM50,000 setahun kepada MBD dihentikan sejak beberapa tahun dahulu? Perkara tersebut telah mengekang proses pembangunan belia-belia negara khususnya di kawasan luar bandar.

“Sehubungan itu, saya menggesa agar peruntukan tersebut dikembalikan semula menerusi belanjawan kali ini untuk menjamin kelangsungan kemajuan para belia,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, beliau mengharapkan agar pihak kementerian menaiktaraf fasiliti sukan kriket di beberapa sekolah di Parlimen Tampin.

“Menerusi belanjawan kali ini saya mempunyai beberapa permintaan dan tuntutan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak kementerian bagi agenda pencungkilan bakat baharu. Pembangunan sukan kriket di Parlimen Tampin amat memberangsangkan dan pencapaian ditunjukkan juga sememangnya tidak boleh dinafikan.

“Mungkin Yang Berhormat Menteri tahu kisah Gemencheh Boys. Hari ini, ramai atlet kriket negara telah dilahirkan SMK Bukit Rokan, Gemencheh seperti ditayangkan dalam filem kisah benar, Gemencheh Boys.

“Justeru, saya berharap agar kementerian menaiktaraf fasiliti sukan kriket di sekolah berkenaan dengan membina sebuah padang kriket baharu,” katanya lagi.

Selain gelanggang kriket, Mohd Isam turut meminta pihak kementerian untuk membina trek balapan agar warga Tampin tidak ketinggalan untuk mempunyai akses sukan olahraga yang baik.

“Selain itu, bagi memastikan warga Tampin tidak ketinggalan untuk mempunyai akses sukan olahraga yang lebih baik, saya juga berharap agar trek balapan dapat dibina di daerah Tampin iaitu di SMK Jelai Gemas.

“Begitu juga dengan menaiktaraf sebuah padang hoki di SMK Tunku Besar, Tampin dan SMK Datuk Taha, Gemencheh.

“Gelanggang-gelanggang sukan yang saya sebutkan ini perlu diberikan perhatian dan tindakan segera oleh kementerian dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi melahirkan atlet-atlet pelapis dan dan di peringkat awal,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.