Perjuangan Kami Tidak Pernah Selesai, UMNO Sabah Terus Melangah Ke Depan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penerangan dan pelbagai pendekatan akan dilaksanakan sebaik mungkin di negeri berkenaan dalam usaha memastikan rakyat terus bersama dengan parti tersebut.

Menurut beliau demi Sabah dan seluruh rakyat, parti berkenaan akan terus melangkah ke depan dan tidak lagi akan menoleh kebelakang dalam usaha mencapai hasrat khususnya melontarkan idea serta tawaran baharu kelak.

“Perjuangan tidak pernah selesai. Demi Sabah dan rakyatnya. Kami ada pengalaman, kami ada ‘track record’, kami ada iltizam, kami ada perancangan. Kami akan tawarkan idea-idea baharu untuk pembangunan ekonomi Sabah dan dasar-dasar yang mampu menyelesaikan masalah-masalah pokok yang sekian lama menghantui rakyat Sabah.

“UMNO Sabah kekal komited memperjuangkan MA63. Malah UMNOlah yang memulakan proses penurunan kuasa dan proses perundingan MA63 semasa pentadbiran Datuk Seri Najib sebagai PM,” katanya.

Seterusnya Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggarapkan lima ciri utama untuk masing-masing bergerak ke depan.

“Secara amnya, saya mengarapkan lima ciri utama untuk bergerak ke hadapan. Pertama, memperjuang dengan tegas semua kepentingan Sabah dalam Malaysia. Kedua, membina ekonomi Sabah dengan pendekatan baru luar kotak dan segar untuk menjadikan ekonomi Sabah lebih moden dan kalis masa hadapan, dengan pendekatan kemanusian dan keterangkuman.

“Ketiga, membanteras ketirisan dan memperbaiki kelemahan sistem penyampaian kerajaan demi perkhidmatan awam yang bergerak kehadapan dengan lebih telus, bersih dan berinovatif. Keempat, merangka pelan ‘SABAH30’, satu pelan pembangunan ekonomi dan sosial negeri Sabah menjelang 2030, yang bakal mengangkat martabat dan keyakinan setiap rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Kelima, mengagihkan kekayaan dan kemakmuran Sabah kepada semua rakyat Sabah dengan adil dan saksama. Tidak seorang pun akan dipinggirkan.
Kelima perkara ini akan menjadi asas utama tawaran UMNO Sabah kepada rakyat Sabah,” tambahnya.

Tambah beliau lagi, penerangan yang lebih komprehensif akan diperjelaskan dalam masa terdekat dan insya Allah, UMNO Sabah akan terus memberi dan berkongsi idea-idea baru kepada rakyat Sabah.

“Kami percaya rakyat akan memberikan keutamaan kepada parti politik yang mempunyai perancangan masa depan untuk keluarga mereka. Retorik politik akan menjadi topik yang tidak relevan bila pertimbangan rakyat yang sebenarnya ialah isu kesejahteraan ekonomi keluarga, kualiti kehidupan dan keselamatan masa depan anak cucu mereka,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.