KDN Sentiasa Teliti Dan Pantau Kerja Pengubahsuaian Di Pintu Masuk Antarabangsa – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa meneliti dan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian serta penambahbaikan secara berperingkat di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi tahun 2023, KDN telah memperuntukkan sejumlah RM54.6 juta untuk perolehan perkhidmatan sewaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi tempoh tiga tahun di 83 PMA.

Menurut beliau jumlah tersebut meliputi perolehan bagi pakej Semenanjung Malaysia sebanyak RM36.3 juta serta pakej Sabah dan Sarawak yang turut meliputi Kompleks ICQS Lubok Antu sebanyak RM18.3 juta.

“Proses perolehan CCTV ini telah bermula pada bulan Oktober 2023. Pemasangan CCTV adalah penting dan kritikal untuk pemantauan keselamatan bagi semua ICQS selaras dengan status kompleks ICQS sebagai kawasan larangan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“CCTV akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan dari mana-mana pencerobohan yang tidak diingini di samping mengawasi keselamatan pengembara yang menggunakan pintu masuk negara. Selain itu, CCTV juga akan membantu memberikan perkhidmatan yang cekap di ICQS Lubok Antu termasuklah di kawasan-kawasan terlindung (blind spot),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Pada sesi tersebut, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Anak Gingkoi meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah Kementerian mempunyai perancangan untuk menambahbaik bangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Lubok Antu yang tidak mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan akses internet buat masa ini sebagai langkah untuk memperkasa tahap keselamatan di pintu masuk negara.

Meneruskan perbahasan, Dr Shamsul seterusnya menjelaskan selain itu, CCTV akan membantu dan melindungi pegawai-pegawai yang bertugas daripada sebarang tohmahan awam kerana semua pergerakan dirakam.

Ini secara tidak langsung tambah beliau lagi akan mempertingkatkan reputasi Jabatan, melindungi pegawai dan memperkukuhkan integriti semua pihak.

Merujuk kepada akses Internet pula, beliau menjelaskan Kompleks ICQS Lubok Antu diperuntukkan kapasiti kelan Internet sebanyak 30-megabit-sesaat di bawah MyGov*Net untuk penyampaian perkhidmatan dan kawalan di pintu masuk.

“Selain Internet, kompleks ini juga dilengkapi dengan talian tetap telefon yang stabil,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.