Bangunan Baharu KK Senaling, Tambahan Ambulan Untuk HTAN Antara Dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Pilah

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan untuk membangunkan sebuah bangunan baharu yang lebih besar bagi Klinik Kesihatan (KK) Senaling untuk menampung pesakit yang semakin bertambah.

Pada masa yang sama, beliau juga ingin tahu berapakan bilangan klinik desa yang bakal dibaik pulih dan dinaik taraf serta klinik desa yang bakal dibina baharu pada tahun 2024 untuk manfaat masyarakat setempat.

“Terdapat lapan buah klinik kesihatan yang terletak di dalam Parlimen Kuala Pilah dan 20 klinik desa. Parlimen Kuala Pilah juga mengandungi lima DUN (Dewan Undangan Negeri) dan amat bergantung kepada perkhidmatan yang diberikan oleh klinik kesihatan dan klinik desa.

“KK Senaling merupakan klinik kesihatan terkecil berbanding klinik-klinik yang lain dan merupakan klinik desa yang telah dinaik taraf iaitu bangunan asalnya ialah bangunan klinik desa. Seluruh penduduk di Senaling bergantung kepada KK Senaling untuk mendapatkan rawatan kesihatan sehingga mengakibatkan kepadatan yang melampau dan ketidakselesaan.

“Kepadatan yang melampau ini telah menyebabkan waktu menunggu menjadi semakin panjang dan kesesakan di ruang menunggu. Oleh itu, Kuala Pilah memohon agar KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dapat mempertimbangkan permohonan untuk membangunkan sebuah bangunan baharu yang lebih besar bagi KK Senaling untuk menampung pesakit yang semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi klinik-klinik desa yang sedia ada di Kuala Pilah juga telah begitu lama dan daif memandangkan lokasi kampung-kampung yang agak jauh daripada Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Klinik desa inilah yang menjadi tumpuan rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Jadi saya ingin tahu, berapakah bilangan klinik desa yang bakal dibaik pulih dan dinaik taraf serta berapakah bilangan klinik desa yang bakal dibina baru pada 2024.

“Kuala Pilah juga ingin memohon agar KKM dapat membekalkan ambulan tambahan kepada Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah. Ini kerana HTAN merupakan hospital kedua terbesar di Negeri Sembilan iaitu HTJ (Hospital Tunku Jaafar) seringkali menghantar pesakit-pesakit bagi menjalani rawatan dan pembedahan di HTAN.

“Klinik-klinik kesihatan dan desa juga terletak berjauhan daripada hospital ini. Bangunan tambahan yang sedang dibina di HTAN dijangka bakal siap pada penghujung 2024 ataupun awal 2025. Oleh demikian, keperluan kepada ambulan ini amatlah mendesak dan diharapkan KKM dapat memberikan HTAN keutamaan bagi memiliki ambulan tambahan tersebut,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut melihat penggunaan kaedah ‘leasing’ merupakan ‘game changer’ kepada perkhidmatan kesihatan di negara ini dan jika ia dilaksanakan pada tahun hadapan, sudah pasti banyak lebihan baki peruntukan yang telah ditajukkan di dalam bajet tahun ini terutamanya di dalam aspek perolehan aset. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.