UMNO/BN Siap Siaga Hadapi PRN Sabah Ke-17 Sekiranya Dibuat Lebih Awal – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 19 Nov – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata UMNO/BN negeri sentiasa dalam keadaan siap siaga di semua peringkat bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN ke-17 diadakan lebih awal dari tempoh yang telah ditetapkan.

Katanya, UMNO/BN telah melakukan persiapan terbaik melibatkan koordinasi pada semua peringkat meliputi parti komponen teras BN.

“Jika sekiranya sebarang kemungkinan sama ada dalam keadaan terdekat, atau pertengahan atau akhir tahun PRN akan diadakan, jentera UMNO dan BN sentiasa bersiap siaga,” katanya ketika ditemui di sini.

Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan UMNO/BN menghadapi PRN ke-17 sekiranya diadakan lebih awal dari tempoh yang sebenarnya.

Baru-baru ini Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membayangkan kemungkinan PRN Ke-17 diadakan seawal tahun depan

Menurut Bung, UMNO/BN merupakan sebuah organisasi politik yang berstruktur dari peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan tidak berhadapan dengan masalah besar berhadapan PRN ke-17 dan telah pun digerakkan hanya, perlu penambahbaikan sehingga tarikh PRN sebenarnya diadakan.

“Bukan setakat itu di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga telah kita bentuk dan gerakkan dan sentiasa dikemaskini, ini termasuklah mengenal pasti ahli parti, pengundi dan sebagainya” katanya.

Ditanya apakah fokas UMNO/BN untuk menghadapi PRN Ke-17 kali ini, Bung yang juga ADUN Lamag berkata, isu-isu pembangunan, kebajikan dan kos sara hidup rakyat akan terus diperjuangkan.

“Rakyat dimomokan dengan slogan ‘Sabah Maju Jaya’ namun kesan dan nikmatnya belum dirasai oleh rakyat terutamanya di luar bandar apabila isu-isu pembangunan, insfrastruktur asas utama seperti bekalan air bersih, elektrik, sistem perhubungan jalan raya, peningkatan kos sara hidup masih belum dapat ditangani sepenuhnya,” katanya.

Katanya, kerajaan hari ini lebih fokus untuk memperkukuhkan parti demi kepentingan survival politik mereka sehingga menjejaskan tumpuan untuk membangunan negeri dan menjaga kebajikan rakyat.

Ditanya mengenai kerjasama dengan parti parti lain yang ingin bergabung bersama UMNO/BN untuk menghadapi PRN Ke-17 kali ini, Bung tidak menolak kemungkinan tersebut namun turut mengulangi pendirian UMNO/BN hanya akan berkerja sama dengan parti yang menghormati perjanjian dimeterai.

Katanya, proses gabungan dengan parti lain sebelum ini telah mengajar UMNO Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini.

“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang menggangu usaha membangunkan Sabah,” katanya.

Bung Moktar berkata, siapa pun gandingan UMNO Sabah nanti akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya akan datang.

Diajukan pertanyaan yang tular di media sosial berhubung kerja sama bersama parti Warisan dan KDM bagi menghadapi PRN Ke-17 kali ini, Bung tidak menolak kemungkinan tersebut namun menurut beliau terlalu awal menyatakannya.

“Kita tunggu sehingga tarikh PRN ke-17 diadakan dan seperti saya nyatakan UMNO/BN hanya akan berkerjasama bagi mana-mana parti yang menghormati perjanjian yang dipersetujui bagi membela kepentingan rakyat Sabah.

“Apa yang kita lakukan hari ini adalah memperkukuhkan semua jentera parti. Kumpul isu-isu dan maklumat yang akan diguna pakai semasa kempen pilihan raya nanti,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.