Kongres Ekonomi Bumiputera: Banyak Perkara Dan Agenda Bumiputera Akan Jadi Topik Perbincangan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Setiausaha Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pelbagai perkara serta agenda yang telah dibincangkan sebelum ini berkaitan ekonomi bumiputera tentunya akan diperhalusi sebaik mungkin dalam usaha memastikan ianya benar-benar mampu dilaksanakan.

Menurut beliau menerusi platform Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan diadakan nanti, sudah tentu pelbagai perkara yang telah timbul mahupun diperkatakan sebelum ini akan menjadi topik untuk dibawa dan dibincangkan,

“Biro Ekonomi UMNO Malaysia beberapa hari lalu telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan agenda Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan oleh Kerajaan Perpaduan pada awal tahun depan.

“Sebelum ini kita telah mengadakan Persidangan Meja Bulat sempena Kolokium berkenaan dan Alhamdulillah rata-rata pimpinan UMNO yang hadir memberikan pelbagai input serta cadangan yang terbaik.

“Segala cadangan serta input tentunya diperhalusi sebaik mungkin untuk kita sama-sama bincangkan kelak, insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, banyak agenda ekonomi bumiputera telah dicadangkan sebelum ini, ada yang berjaya dan ada yang kurang berjaya.

“Kongres kali ini akan turut membincangkan cabaran dan kekangan yang dihadapi sehinggakan beberapa dasar ekonomi bumiputera nampak kurang berjaya.

“Insya-Allah… UMNO akan memberikan beberapa cadangan penambahbaikan kepada kerajaan mengenai sistem pengurusan, pemantauan dan pencapaian bumiputera dalam bidang ekonomi yang diharapkan dapat menyelesaikan beberapa masalah asas yang menyebabkan kejayaan bumiputera dalam ekonomi masih belum memuaskan. Ini termasuk cabaran khusus yang dihadapi oleh bumiputera di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Persidangan meja bulat Isnin lalu sempena Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), berlangsung dengan jayanya. Majlis perasmian kolokium itu disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Lebih 200 peserta menghadiri kolokium tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.