Jadi MB Jangan Asyik Cari Salah Orang Lain… Cari Inisiatif Promosi Negeri – Shahanim

ALOR SETAR, 17 Nov – Rakyat mahukan pemimpin sesebuah kerajaan yang komited mengurus tadbir negeri dengan baik dan bukannya hanya pandai mencari salah pihak lain, tegas Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Ujarnya, setelah mentadbir negeri lebih tiga tahun, sewajarnya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah mempunyai idea dan inisiatif menyemarakkan industri pelancongan terutama di Pulau Langkawi dan mempromosi negeri.

 

“Salahkan Kementerian Pelancongan tak mahu bantu… sepatutnya dia mengambil inisiatif promosi Langkawi. Dulu semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) kita bawa pelancong dari China ‘direct’ ke Langkawi, bawa pelancong Rusia ‘direct’ ke Langkawi, ‘pi’ Pantai Chenang tu ramai pelancong luar negara… sebab ‘direct flight’. Itu adalah atas kebijaksanaan dan inisiatif pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

“Jadi Menteri Besar kena ada satu inisiatif buat promosi (seperti) pertandingan marathon, ‘world halal exhibition’, pertandingan kapal layar, promosi Langkawi sebagai satu pulau yang bertaraf antarabangsa di bawah kerajaan negeri. Jangan ‘duk’ salahkan orang… ada inisiatif nak bantu orang Langkawi, rakyat negeri Kedah dengan membuat pelbagai program dan promosi,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Justeru Shahanim menggesa Sanusi agar berhenti menyalahkan pihak lain atas kegagalan sendiri dan seharusnya mencari idea seperti mana kerajaan BN terdahulu dalam menarik pelancong hadir ke pulau peranginan tersebut.

Begitu juga katanya berkenaan isu gaji pemain bola sepak negeri Kedah yang tidak dibayar.

“Saya amat simpati kepada pemain-pemain, keluarga anak isteri mereka. Jadi sepatutnya kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mencari jalan macam mana pun, ‘you are leader’… pemimpin kena bantu pemain-pemain ini. Bola sepak dengan Kedah ini tidak boleh dipisahkan ada peminatnya sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, mengulas mengenai fokus UMNO dan BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), Shahanim berkata UMNO Kedah kini sedang mengorak langkah memperkukuhkan parti bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

“Kekalahan kita banyak faktor antaranya kita kalah bukan kerana tidak beri khidmat bakti kepada rakyat, bukan tidak buat kerja, tidak membantu kerja kebajikan kepada rakyat tetapi kita kalah kerana banyak sangat persepsi negatif dan juga fitnah dakyah yang sangat dahsyat.

“UMNO selepas PRN ini kembali bertaut di atas nama ‘retreat’ UMNO Kedah hendak mencari satu semangat kembali bekerja walaupun kalah tetapi kita masih menjadi kerajaan di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah bersama Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri mengukuhkan semangat untuk buat kerja membantu rakyat dan kita hendak kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO. Saya yakin sampai hujung tahun ini rakyat dah nampak kelemahan-kelemahan kerajaan negeri yang bagi saya mereka menang atas fitnah, dakyah dan pembohongan,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.