Peruntukan Dikurangkan Sedangkan Kemalangan Selalu Berlaku, Mohd Isam Bangkit Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata peruntukan bagi projek menaik taraf jalan dan laluan di Semenanjung telah menunjukkan trend penurunan dari tahun ke tahun.

Ini kerana katanya, untuk tahun depan sekitar RM48 juta dikurangkan daripada peruntukan tahun sebelumnya iaitu daripada RM242 juta kepada RM194 juta.

“Saya ingin mengetahui, apakah kewajaran pengurangan peruntukan ini sedangkan, di laluan Bukit Putus Jalan Tampin-Gemas sering berlaku insiden kemalangan dan kemalangan maut yang memerlukan perhatian kementerian.

“Terdapat juga laluan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan ‘blackspot’ sejak sekian lama dengan kadar kemalangan maut yang agak tinggi. Sehubungan itu, saya ingin mengetahui sama ada perkara ini sudah berada di dalam perhatian pihak kementerian atau sebaliknya?

“Apakah tindakan yang pernah diambil oleh kementerian atau agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membantu menyelesaikan permasalahan ini dan amat berharap agar kementerian menyegerakan kerja-kerja untuk menaik taraf jalan tersebut, khususnya di lokasi yang kerap berlakunya kemalangan maut,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, petang semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin turut membangkitkan isu mengenai sistem saliran longkang yang tidak sempurna di laluan masuk ke kawasan tanah rancangan Felda di Tampin.

Tambahnya lagi, lokasi jalan yang dimaksudkan ialah di tiga kawasan iaitu Jalan Utama Bukit Rokan, Jalan Bukit Rokan Utara dan Jalan Jelai-Gemas.

“Justeru itu, bilakah kementerian bercadang untuk membaik pulih atau membina baharu sistem saliran longkang di jalan-jalan berkenaan dan adakah pembinaan sistem saliran longkang di jalan, tidak dijadikan sebagai keutamaan dan syarat wajib bagi kontraktor atau bagaimana?

“Sistem saliran longkang yang tidak sempurna ini telah mengakibatkan jalan-jalan tersebut sering dinaiki air dan merisikokan para pengguna.

“Keadaan ini menjadi lebih parah lagi, apabila turunnya hujan pada waktu malam kerana jalan-jalan di kawasan tersebut juga tidak mempunyai lampu jalan,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau agar pihak kementerian dapat menyegerakan perkara ini dan mencari jalan penyelesaian dengan secepat mungkin supaya dapat meningkatkan keselamatan para pengguna. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.