Parlimen: Bung Moktar Soal Keperluan IPTA Dan IPTS Anjur Konsert Artis Luar Negara

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempersoalkan apakah keperluan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta untuk mengundang artis luar negara bagi tujuan mengadakan konsert.

Ini kerana katanya, artis-artis luar negara ini biasanya kurang sopan dan ada yang pernah melanggar garis panduan ditetapkan ketika melakukan persembahan.

“Apakah keperluan untuk IPT mengadakan konsert artis luar negara? Kalau dengan mengundang artis dalam negara itu masih rasional. Tetapi kalau luar negara, kos dan biayanya sudah tentu perlukan ‘sponsor’.

“Biasanya artis-artis luar negara ini kurang sopan, melanggar perjanjian awal yang telah dimeterai. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk menghalang perkara ini?

“Beritahu IPTA dan IPTS ini bahawa mereka boleh berhibur tetapi cukuplah dengan artis dalam negara. Popularkanlah artis dalam negara, hormati mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bertanyakan soalan tersebut kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohammad Yusof ketika menjawab berkata beliau bersetuju dengan cadangan diberikan namun setiap IPT Awam dan Swasta mempunyai garis panduan tersendiri.

“Memang kita bersetuju dan andainya ada pilihan kita nak utamakan artis tempatan. Ini juga sebagai cara kita membantu artis-artis tempatan supaya lebih popular dan dikomersialkan.

“Akan tetapi, kita ada garis panduan yang telah disarankan dan telah diwujudkan oleh IPTA serta IPTS masing-masing. Tentunya dalam pertimbangan ini semua, kita tidak meletak sesuatu yang menghalang terutamanya apabila menyentuh soal artis tersebut dari mana.

“Tetapi apabila diambil dari luar negara, tentu artis tersebut perlu mengikut peraturan yang ada di dalam negara kita,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.