MB Perak Hargai Sukarelawan Dan Agensi Bantu Mangsa Banjir, Kerajaan Negeri Salurkan Bantuan

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat para sukarelawan, seluruh agensi dan jabatan yang telah bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja menyelamat serta membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu.

Katanya, pihaknya akan berusaha sedaya upaya mungkin untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa dan berharap mereka yang terjejas dapat mengharungi dugaan dengan tabah.

“Saya turut telah menyalurkan sumbangan dan sedikit barangan keperluan kepada keluarga mangsa-mangsa supaya dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang mereka lalui.

“Saya difahamkan bantuan awal banjir sebanyak RM300 daripada kerajaan negeri sudah pun diagihkan sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Petang semalam, Saarani turun ke Daerah Hilir Perak untuk melihat keadaan mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 32 keluarga dan lima keluarga di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

“Saya juga dimaklumkan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa yang terlibat akan dilaksanakan oleh sukarelawan belia Hilir Perak yang akan diuruskan oleh Jabatan Belia dan Sukan Daerah, dengan peralatan pembersihan disediakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hilir Perak pada penghujung musim Monsun Timur Laut yang dijangka akhir Disember ini,” katanya.

Begitu juga jelasnya, PDT Hilir Perak juga sedang menyelaraskan bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pejabat Perdana Menteri, badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen yang dijangka selesai akhir Disember ini.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.