Kemaman Dekat Di Hati Raja Mohamed Affandi, Yakini Kematangan Pengundi Buat Pilihan Terbaik
KUALA LUMPUR, 16 Nov – Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berharap pengundi di Kemaman untuk membuat pertimbangan yang rasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Disember ini demi masa hadapan terbaik mereka.
Katanya, kehadiran beliau dalam PRK sebagai calon Barisan Nasional (BN) adalah bagi memberikan kembali manfaat kepada penduduk di kawasan ini kerana Kemaman amat dekat di hatinya kerana dibesarkan di sini.
“Bila diberi mandat untuk mengundi, jangan fikir diri kita sahaja tetapi fikir ke hadapan anak dan cucu kita di mana arah mereka. Ini adalah suatu yang harus ada dalam fikiran mereka, lihat dan kaji malah yakin di tempat saya mampu membuat pertimbangan yang besar untuk melihat dan mencari apa yang terbaik.
“Harapan ialah masyarakat di kampung saya untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya kerana saya di sini atas sebab untuk memberikan (khidmat) kembali kepada mereka.
“Saya cakna dan ambil peduli tentang rakyat dan kata ‘mu beri undi, mu lihat apa perubahan menanti’ jadi beri peluang kepada saya untuk berbakti,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.
Ketika ditanya cabaran besar beliau dalam PRK ini, bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berusia 66 tahun itu berkata beliau percaya dengan gerak kerja dan strategi UMNO/BN dalam mengkaji kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu dalam merampas kembali kerusi ini daripada pembangkang.
Malah katanya, kesepaduan dan komitman dalam Kerajaan Perpaduan dapat dilihat pada waktu ini yang menfokuskan agenda memperkasa rakyat dan ekonomi negara memainkan peranan tersendiri bagi mendepani PRK Kemaman ini.
“Saya yakin UMNO/BN telah melakukan apa yang perlu dalam melihat titik kekalahan sebelum ini dan pastinya menerusi pendekatan yang dibuat.
“Jadi saya melihat pengundi di situ iaitu orang-orang kampung tahu apa yang berlaku dalam negara termasuk Kerajaan Perpaduan dan melihat ke arah mana yang kerajaan tuju sekarang.
“…dan saya ke arah itu jadi maknanya mengajak pengundi di sana melihat secara rasional apa yang akan dan sedang belaku. Insya-Allah sebagai calon saya akan mencari apa yang perlu bagi saya, ini adalah liga terakhir dalam kehidupan untuk dipahatkan sesuatu yang baik untuk dilakukan,” ujar beliau.
Bercakap dalam konteks pengundi muda, Raja Mohamed Affandi yang berkhidmat selama 43 tahun dalam ATM berkata beliau optimis dengan kematangan yang ada dalam diri mereka.
Menurut beliau ini kerana sikap ambil peduli golongan muda dalam perkembangan politik jelas menunjukkan kelompok ini mahukan jaminan masa hadapan yang terbaik untuk mereka dan masa hadapan negara.
“Anak muda yang ada sekarang ini saya lihat mereka cakna juga dengan politik ini, maknanya mereka ingin juga yang terbaik buat mereka pada masa akan datang.
“Saya yakin mereka mengkaji dan menganalisa apa yang berlaku dan dilaksana oleh kerajaan dan saya yakin mereka akan membuat keputusan yang baik,” katanya.
Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia, dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan diumumkan sebagai calon pada PRK Kemaman pada Isnin lalu.
Ianya susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan. – UMNO Online