Siap Siaga Hadapi Banjir, Kerajaan Dan APM Negeri Johor Lakukan Persediaan Rapi – Azalina

PENGERANG, 15 Nov – Kerajaan Negeri dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor telah melakukan persediaan rapi dan bersiapsiaga untuk berhadapan dengan situasi banjir.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan rakyat di negeri itu untuk sentiasa peka dan menerima nasihat dari Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Beberapa bulan ini perlu peka terhadap keadaan cuaca. Ambil tahu dan sentiasa semak nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Kerajaan negeri Johor dan APM Johor telah membuat persediaan rapi. Saya bersama-sama team Parlimen Pengerang (P.157) juga akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Untuk rekod, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi titik panas banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, Sarawak merekodkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 1,066 lokasi, diikuti Sabah (798); Pahang (750), Johor (745) dan Kelantan (617).

Setakat ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Kedah mencatatkan sedikit peningkatan pagi tadi manakala di Perlis pulih sepenuhnya– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.