PRK Kemaman: UMNO/BN Perlu Tawan Sentimen Nasional Pengundi – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 15 Nov – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai keupayaan untuk menawan sentimen nasional pengundi berbanding Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, UMNO/BN perlulah mengemukakan tawaran dengan calon yang mempunyai personaliti segar, aktif di lapangan dan diterima baik oleh penduduk tempat.

“UMNO/BN perlu memastikan calon yang dipilih mempunyai personaliti yang segar, aktif di lapangan, diterima baik dan mesra dengan penduduk tempatan.

“Kempen dilakukan juga perlu menumpukan kepada tawaran yang lebih baik berbanding PN dan juga keupayaan untuk menawan sentimen nasional pengundi.

“Sekurang-kurangnya, usaha ini boleh memberi cabaran dan saingan berhadapan dengan PN di Terengganu di samping gerak kerja yang bersepadu demi memastikan pengundi merasai kehadiran BN dalam neraca pertimbangan politik mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, pada Isnin, BN telah menamakan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon PRK Parlimen Kemaman.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan keupayaanRaja Mohamed Affandi untuk bertanding di kawasan terbabit pada 2 Disember depan biarpun bukan dari kalangan kepimpinan UMNO dan merupakan calon dari luar bidang politik.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.