PRK Kemaman: Seluruh Jentera Akan Usaha Sebaik Mungkin, Menangkan Calon BN – Azalina

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Seluruh jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan calon ditandingi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, calon yang diletakkan oleh UMNO/BN merupakan seorang dihormati dan disanjungi.

“Calon UMNO/BN untuk PRK Kemaman seorang yang dihormati dan disanjung ramai. Bukan sahaja di kalangan anggota keselamatan, tetapi juga oleh masyarakat tempatan.

“Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dibesarkan di Kemaman dan keluarga beliau juga di Kemaman.

“Amat penting kita meletakkan calon anak tempatan yang memahami selok belok, isu-isu dan disenangi orang kampungnya. Seluruh jentera UMNO/BN akan berusaha memastikan kemenangan calon kita di PRK Kemaman,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Isnin media melaporkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumum calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media di Menara Dato Onn.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.