PRK Kemaman: Puteri UMNO Terus Jelajah Kemaman, Dekati Para Pengundi Muda

KEMAMAN, 15 Nov – Jelajah Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di seluruh Kemaman diteruskan lagi bagi mendekati para pengundi khususnya anak muda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan tiba tidak lama lagi.

Pada Selasa lalu, Pergerakan Puteri UMNO telah bersama-sama para mahasiswa di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik untuk program persediaan kerjaya bagi mempersiapkan para pelajar menempuhi alam pekerjaan.

Jelajah diteruskan lagi pada Khamis dengan perjumpaan Ketua Puteri UMNO Bahagian bersama Ketua Puteri UMNO Negeri Terengganu dan Setiausaha Puteri UMNO Malaysia.

Perjumpaan tersebut diadakan bagi membincangkan susun atur dan gerak kerja berkaitan PRK Kemaman khususnya untuk menarik undi anak-anak muda.

Selain itu, Pergerakan Puteri UMNO turut bertemu dengan para pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman bagi perkongsian pengalaman, tips-tips temuduga dan cara menyediakan resume sebelum memasuki alam kerjaya.

Mereka turut mendoakan para pelajar di KKTM berjaya dalam bidang yang ingin diceburi selain mengharapkan agar segala perkongsian dapat memberikan manfaat.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.