Literasi Kewangan Lemah Punca PMKS Tidak Mampu Bersaing – Noraini

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah banyak menyalurkan pelbagai bantuan pembangunan dan peruntukan untuk meningkatkan keupayaan Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Namun katanya, PKMS tidak mampu bersaing dalam pasaran ekoran tahap literasi kewangan yang rendah. 

Katanya, ini tidak terkecuali kepada pemilik perniagaan walaupun melihat banyak percambahan perniagaan yang bermutu tetapi oleh kerana literasi kewangan yang lemah menjadi punca banyak PMKS yang tidak mampu ‘survived’.

“Adakah kerajaan akan mewajibkan Latihan Literasi Kewangan dalam kalangan PMKS yang akan memberi kesan dalam gelagat perbelanjaan dan sikap untuk bergantung talian hayat pada subsidi dalam kalangan PMKS ini dapat dihakis?” soalnya ketika sesi Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan terdapat peningkatan peruntukan daripada RM55 juta (2023) kepada RM85 juta (2024).

“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan komponen penting ekonomi Malaysia yang menyumbang sepertiga daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK).

“Jumlah perniagaan milikan wanita di negara ini merangkumi lebih daripada 20 peratus. Adakah kerajaan mempunyai usaha bagi meningkatkan kadar penglibatan wanita dalam keusahawanan melalui butiran ini dan adakah kerajaan mempunyai sasaran peningkatan usahawan wanita bagi tahun hadapan?” soalnya.

Tambah beliau lagi, dalam laporan Ketua Audit Negara sebelum ini, dilaporkan bahawa RM16.73 juta geran PKS tidak dibelanjakan dan apakah alasan geran tersebut tidak digunakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.