Kongres Ekonomi Bumiputera Maklum Balas Terbaik Bagi Akar Umbi UMNO – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Penganjuran Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera menjadi platform mendapatkan maklum balas dalam kalangan pemimpin Melayu dan Bumiputera UMNO terhadap cadangan kerajaan untuk mengadakan kongres tersebut pada Januari 2024.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sebagai penganjur kolokium, pertemuan tersebut menjadi proses libat urus bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan.

Katanya, selepas itu maklum balas atau rumusan akan diangkat kepada Pengerusi Bersama Kongres yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai mewakili Kerajaan Persekutuan.

“Kongres Ekonomi Bumiputera sebenarnya dipengerusikan oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Kedua-dua pemimpin ini mewakili pihak kerajaan dan ‘organizer’ Kongres Ekonomi Bumiputera.

“UMNO diminta untuk mendapatkan ‘feedback’ terutamanya dari ‘grass root’ khususnya dalam parti tersebut, badan berkanun dan bermacam-macam lagi badan yang berkait rapat dengan ekonomi bumiputera.

“Kita ini dapatkan maklum balas hanya dari UMNO sahaja. Kita cuma bagi input melalui meja bulat dan kolokium akan diadakan pada 6 Januari (2024) nanti,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Johari yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan UMNO menambah setiap negeri akan berbincang dengan bahagian masing-masing dan seterusnya maklum balas yang diterima diberikan pada Setiausaha Kongres Ekonomi Bumiputera, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

“Setiausaha Kongres Ekonomi Bumiputera, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta Datuk Nur Jazlan Mohamed diberi tugas untuk koordinat dan mengendalikan bagi mendapat ‘feedback’ daripada pemimpin-pemimpin UMNO di bahagian-bahagian dan; setiap negeri untuk datang berkongsi pandangan-pandangan yang hendak diberikan terhadap input-input yang ingin disampaikan kepada kerajaan.

“Setiap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri akan berbincang dengan bahagian-bahagian dan seterusnya mendapatkan input-input untuk dibawa ke kolokium pada 6 Januari 2024 dan setiap negeri akan mereka bentangkan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu, bagi badan-badan berkanun, peniaga-peniaga dan sebagainya akan diadakan berasingan bagi mendapatkan maklum balas tentang ekonomi bumiputera.

“Bagi NGO (badan bukan kerajaan), penjaja-penjaja, mahasiswa dan mana-mana badan berkanun yang mewakili badan bumiputera ini akan dikendalikan berasingan. Mereka ini ada modul-modul yang akan dibincangkan serta mendapat maklumat dari mereka,” jelas beliau.

Terdahulu, pada Isnin persidangan meja bulat sempena Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera telah berlangsung yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Terdapat empat sesi yang memberi penerangan tentang Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang didahului oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai Setiausaha Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera, pembentangan Ketua Pegawai Eksekutif Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Junaidy Nawawi.

Seterusnya pembentangan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Seri Mohd Zaidi Zakaria manakala penggulungan oleh Johari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.