Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera: UMNO Kekal Perjuang Agenda Melayu – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera menjadi bukti bahawa UMNO kekal memperjuangkan agenda Melayu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut memberi pandangan agar kongres tersebut memberi fokus memperkasa ekonomi bumiputera dengan mewujudkan institusi baharu.

“Saya turut memberi pandangan dalam Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera sebagai persiapan UMNO menyertai Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan oleh Kerajaan Perpaduan bulan Januari 2024 akan datang.

“Saya berpandangan agar kongres itu fokus kepada dua isu utama. Pertama mengujudkan institusi baharu untuk memperkasakan ekonomi bumiputera,” katanya.

Tambahnya lagi, kongres tersebut perlulah memperkasakan institusi sedia ada di samping mencadangkan penubuhan Wakaf Ekonomi Bumiputera Kebangsaan dan diurus secara professional.

“Kedua memperkasakan institusi sedia ada seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Tabung Haji dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Untuk fokus yang pertama saya mencadangkan penubuhan institusi baru iaitu Wakaf Ekonomi Bumiputera Kebangsaan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Wakaf ini mesti diurus secara profesional dengan melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang berwibawa. UMNO kekal memperjuangkan agenda Melayu,” katanya lagi.

Pada Isnin lalu telah diadakan Persidangan Meja Bulat sempena Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan dihadiri oleh para pemimpin UMNO.

Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Disember ini dan ianya bakal menghimpunkan para pemimpin UMNO daripada 191 bahagian seluruh negara bagi mendapatkan pandangan untuk memperkasa ekonomi bumiputera.

Intipati daripada kolokium tersebut seterusnya akan dibawa ke Kongres Ekonomi Bumiputera. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.