Ahmad Zahid Hadir Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Temerloh, Pantau Kesiapsiagaan Banjir

TEMERLOH, 15 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah 2023 bagi memantau kesiapsiagaan sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau mengambil maklum mengenai isu kekurangan aset operasi dan bersetuju agar perolehan 14 buah bot berserta kelengkapan disegerakan.

“Selepas perjumpaan bersama Penjawat Awam Temerloh pagi ini, saya telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah 2023 bagi mendengar dan mendapatkan output dari ‘ground zero’ – semuanya bagi memastikan kesiapsiagaan sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan ini.

“Saya mendengar teliti taklimat Pegawai Daerah Temerloh, Yang Hormat Datuk Khairur Rizal Ramli termasuklah pelan pembangunan siap siaga meliputi syor sehinggalah pelan pemulihan pengurangan risiko banjir jangka pendek dan jangka panjang.

“Saya ambil maklum mengenai isu kekurangan aset operasi di peringkat kampung dan mukim yang telah diutarakan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat, saya bersetuju agar perolehan 14 buah bot berserta kelengkapan disegerakan bagi memenuhi keperluan penyelamatan dan mengangkut bekalan bantuan di kawasan yang terputus hubungan,” katanya.

Menurutnya, isu mengenai tahap keselesaan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibangkitkan.

“Turut dibangkitkan mengenai tahap keselesaan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS, isu penerima senarai bantuan wang ihsan, aspek penyelenggaraan infrastruktur keselamatan dan penyampaian maklumat yang lebih efektif kepada mereka yang berisiko serta terdedah kepada bencana banjir.

“Sebagai Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga, saya melihat wujudnya keperluan untuk menambah baik rumah mangsa banjir tahun 2021 di kawasan ini yang belum menerima sebarang bantuan.

“Justeru, saya bersetuju agar KKDW menyalurkan bantuan secara ‘one-off’ bagi setiap rumah yang mengalami kerosakan semasa banjir pada tahun 2021 dan 2022 sebanyak RM5,000 melibatkan sebanyak 5,100 buah rumah,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan dewan tertutup di PPS Kekal SMK Seberang Temerloh.

“Saya juga telah mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk pembinaan Dewan Tertutup di Pusat Pemindahan Kekal SMK Seberang Temerloh, bagi memenuhi keperluan penduduk yang terjejas banjir pada masa hadapan.

“Saya berharap agar usaha ini dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat terdedah kepada bencana banjir di Daerah Temerloh ini. Saya juga berdoa agar penduduk di sini sentiasa dilindungi daripada musibah banjir yang boleh mengancam nyawa dan mendatangkan kerosakan harta benda. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.