Wanita UMNO Siap Siaga PRK Kemaman, Fahami Perubahan Landskap Politik Semasa

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) berharap agar pengundi di Parlimen Kemaman dapat memberikan sokongan serta kepercayaan kepada calon BN dalam usaha menyalurkan khidmat bakti kepada rakyat.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pemilihan Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon langsung BN menunjukkan kepimpinan parti sama ada di peringkat pusat, negeri dan bahagian memahami perubahan landskap politik semasa.

“Wanita UMNO dan Barisan Nasional mengalu-alukan pemilihan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

“Segala perancangan dan langkah berjaga-jaga telah diatur serta gerak kerja kempen akan disesuaikan mengikut keadaan semasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong seterusnya menjelaskan Wanita UMNO dan BN siapsiaga menghadapi PRK Kemaman walaupun berdepan dengan kemungkinan banjir ketika kempen sedang berlangsung.

“Persediaan ini amat penting memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut dijangka bermula pertengahan November dan berlanjutan sehingga Mac tahun depan,” ujarnya.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Raja Mohamed Affandi sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman.

PRK tersebut diadakan berikutan pada September lalu Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November).- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.