Sokongan BN Kepada Kerajaan Perpaduan Kukuh, Fokus Laksana Agenda Terbaik Kepada Rakyat – Zambry

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yakin dengan kestabilan dan keutuhan Kerajaan Perpaduan pada hari ini dengan dukungan daripada 19 parti terutama dari BN.

Jelas beliau, dengan dukungan dua pertiga dimiliki hari ini sudah tentunya membawa aspirasi tersendiri kepada kerajaan dalam melaksana agenda terbaik kepada rakyat.

“Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini berada dalam keadaan yang stabil kerana jumlah ahli-ahli Parlimen begitu ramai dan sudah berada dalam dua pertiga dan tentunya ini memberikan satu kekuatan dan atas daripada sokongan daripada BN juga kerana 30 ahli Parlimen BN menambahkan kekuatan kita.

“Saya tidak fikir ahli-ahli Parlimen BN akan bertindak sebaliknya malah kita lihat usaha mereka bersungguh-sungguh untuk memastikan kerajaan ini dapat berjalan dengan baik dan stabil dan memberikan tumpuan untuk pembelaan rakyat.

“Kita tidak dapat memberikan perhatian jika asyik bertelingkah memikirkan lepas setahun siapa hendak ganti kerajaan. Jadi sokongan daripada BN itu berterusan dan alhamdulillah saya fikir tidak ada perkara serius yang menjadi halangan sokongan diberikan untuk Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui UMNO Online secara eksklusif baru-baru ini.

Bercakap berkenaan pendekatan dalam mendekati rakyat, beliau yang juga Menteri Luar Negeri merakamkan penghargaan dan terharu dengan langkah yang dilakukan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pada ketika ini melaksanakan program jelajah ke setiap bahagian.

Menurut Zambry, ini kerana program tersebut sangat memberi makna kepada ahli akar umbi yang berkemungkinan masih keliru dalam memberikan pemahaman kepada mereka berkenaan masa hadapan parti dan keberadaan parti bersama dengan kerajaan.

“Langkah yang dibuat oleh Presiden ini untuk bertemu dengan bahagian-bahagian memberikan impak baik untuk menjelaskan hal-hal yang mungkin menimbulkan sedikit kekeliruan kekaburan kepada ahli.

“Dengan adanya penjelasan yang diberikan sebagai contoh mengapa kita mengambil tindakan untuk bekerjasama dengan kerajaan ini, saya yakin insya-Allah ahli-ahli mendapat penjelasan dan mereka boleh bertanya soalan secara terbuka.

“Saya dapat ikut serta di beberapa tempat dan tengok sendiri bagaimana Presiden berinteraksi secara terbuka menyampaikan ucapan beliau dan juga penjelasan diberikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana ada yang saya dengar daripada yang datang mengatakan melalui program seupama ini barulah mereka faham mengapa parti buat keputusan sebegini,” katanya.

Menyentuh berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang bakal diadakan pada Disember ini, Zambry mengakui BN menggalas cabaran yang cukup besar namun beliau percaya kelebihan yang ada pada jentera parti terutama dalam nilai kerjasama yang ada dalam kalangan mereka.

Malah katanya, dengan strategi baharu dilakukan parti melalui jentera daripada seluruh negara yang diturunkan membantu bahagian-bahagian angkat mampu memberikan kekuatan baharu kepada UMNO/BN Kemaman pada PRK ini.

“Tentunya kita memerlukan penggemblengan usaha daripada pelbagai pihak iaitu semua parti-parti yang ada dalam BN untuk kita tunjukkan solidariti, turun sama membantu calon BN yang akan bertanding.

“Saya yakin dengan usaha yang dibuat ini akan memberikan impak dan cabaran yang baik kepada calon di sebelah sana walaupun mereka mempunyai keyakinan tersendiri tetapi dengan kehadiran dan kesungguhan tentunya mereka memikirkan tentang keadaan kesan daripada kesungguhan gerak kerja jentera parti UMNO/BN,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.