PRK Kemaman: Guna Peluang Kedua Pilih Wakil Rakyat Yang Benar-benar Berkhidmat – Mohd Pehimi

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Mohd Pehimi Yusof berharap agar pengundi di Parlimen Kemaman menggunakan peluang kedua untuk memilih wakil rakyat yang boleh bekerja pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Ujarnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menghadapi PRK ini dengan langkah baharu untuk menarik para pengundi khususnya pengundi muda.

“Insya-Allah pada 18 November ini akan berlaku proses penamaan calon sempena PRK di Kemaman.

“Para jentera parti bukan sahaja UMNO tetapi parti-parti lain juga akan bekerja ekoran daripada keputusan mahkamah yang telah membatalkan kemenangan calon PN (Perikatan Nasional) pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu.

“UMNO/BN bersedia untuk menghadapi PRK kali ini dengan langkah baharu untuk menarik para pengundi supaya bersama-sama kita,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau yakin pada PRU lalu pengundi telah membuat keputusan dengan menggunakan persepsi tanpa mengambil kira fakta sebenar.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan kesungguhan UMNO/BN akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memberikan penerangan sebaiknya kepada para pengundi.

“Insya-Allah pada pilihan raya kali ini kita akan bekerja bersungguh-sungguh dengan untuk memberi penerangan sebaik mungkin kepada pengundi agar penilaian yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan kebenaran demi masa hadapan mereka.

“Saya mengharapkan agar para pengundi menggunakan peluang kedua ini untuk memilih calon yang boleh membantu mereka sepanjang lima tahun akan datang ini.

“Jangan memilih calon yang semata-mata pandai berjanji tetapi tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat. Gunakanlah kebijaksanaan untuk membuat keputusan tepat,” katanya lagi.

Semalam Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumum calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media di Menara Dato Onn.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal pada 28 November. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.