‘Wanita On Wheels: Sentuhan Kasih Kota Melaka’ … Apresiasi Haryaty Santuni Jasa Pejuang UMNO

KUALA LUMPUR, 10 Nov – ‘Wanita On Wheels: Sentuhan Kasih Kota Melaka’ menjadi Apresiasi Wanita UMNO Kota Melaka dalam menyemarakkan perjuangan parti ke seluruh bahagian terbabit.

Ketuanya, Datuk Haryaty Hamdzah memaklumkan bahawa program tersebut diangkat sebagai satu gerak kerja khususnya menghidupkan semangat berziarah dengan mengunjungi para pejuang parti yang telah meniti usia emas.

“Di samping kita bermotor dan berkonvoi yang tentunya akan dapat mengeratkan silaturrahim dan kerjasama berpasukan, kita juga singgah berziarah menyantuni dan menghargai bekas pejuang UMNO yang sebelum ini banyak berkorban untuk parti demi kesinambungan kepada generasi seterusnya.

“Siri ziarah ini juga dapat memberikan kesedaran kepada pemimpin muda bagi menghargai sumbangan buat pemimpin yang lama dan ikhlas berjuang dalam parti, inilah yang perlu kita sematkan sentiasa dalam setiap anggota UMNO hari ini,” katanya.

Jelas Haryaty, antara kunjungan yang dibuat kali ini ialah melawat mantan Setiausaha Kerja UMNO Melaka, Datuk Hamzah Bajuri yang telah berusia 85 tahun.

Dalam masa yang sama, Haryaty melahirkan kesyukuran dengan lancarnya program tersebut yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka merangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Kalsom Nordin.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, atas keizinan-Nya program ‘Wanita On Wheels: Sentuhan Kasih Kota Melaka’ telah berjaya diadakan dengan baik dan lancar.

“Program bermotor secara berkonvoi ini diaplikasi Wanita UMNO Kota Melaka untuk menjelajah seluruh bahagian ini dengan membawa semangat perjuangan UMNO untuk bersama-sama masyarakat setempat,” katanya kepada UMNO Online

Dalam hal ini, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sama-sama bertungkus-lumus dan menyokong program tersebut.

“Program ini menjadi realiti hasil kerjasama semua pihak yang tentunya merealisasikan hasrat untuk menjadikan UMNO bukan sahaja parti politik tetapi juga mempunyai sentuhan dalam pelbagai perkara,” katanya.

Jelas beliau, program ini mendapat sokongan daripada Persatuan Gabungan Melaka Bikers Club (GMBC), Kelab MAYC Batu Berendam selain anggota keselamatan yang membantu melancarkan program berkonvoi di samping beliawanis dan semua pihak termasuk anggota jawatankuasa Wanita UMNO dan Cawangan-cawangan di sini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.