Semoga Ada Usaha Berterusan Hentikan Perang Dan Pencerobohan Zionis-Israel Di Gaza – Nizar

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohamad Nizar Zakaria meluahkan simpati beliau terhadap rakyat Gaza yang masih terus berhadapan dengan kekejaman rejim Zionis-Israel.

Malah katanya, serangan dilakukan rejim itu terhadap rakyat Gaza sehingga kini termasuk terbaharu sesuatu yang mendukakan dan berharap ketabahan diberikan kepada rakyat Gaza di sebalik berhadapan cengkaman berterusan dilakukan rejim Zionis.

“Rasa suasana pilu dan simpati yang mendalam ke atas umat Islam kita di Gaza, Palestin. Kita doakan semoga umat Islam di sana tabah kuat dan terus berjuang di bumi Palestin, kerana Baitulmaqdis berada di sana.

“Ini juga tanggungjawab kita, semoga ada usaha berterusan untuk menghentikan perang dan ceroboh Zionis-Israel terhadap umat Islam Gaza, Palestin,” katanya.

Katanya, konflik di antara Zionis dan Palestin terus menjadi satu pertikaian yang berpanjangan meskipun pelbagai cara telah dilakukan untuk membantu namun sehingga kini bayangan penyelesaian tersebut tidak pernah direalisasikan Israel.

Jelas beliau lebih memilukan sehingga kini masyarakat dunia masih lagi disajikan perkhabaran tentang keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin pada setiap masa.

“Tahap keganasan yang disaksikan sepanjang konflik ini terlalu kejam. Kini korban perang yang dilakukan oleh rejim Zionis tidak hanya tertumpu kepada para pejuang tetapi juga melibatkan nyawa orang awam terutama kanak-kanak dan wanita.

“Sampai bilakah kita harus berdiam diri dan membiarkan semua kekejaman ini berlaku? Apakah selamanya kita hanya melihat dan mendengar sahaja perkhabaran tentang kemusnahan sebuah negara Islam tanpa melakukan apa-apa tindakan?” soal beliau.

Menjengah kembali pada 2010 ketika beliau menjadi sukarelawan program Free Gaza Movement menerusi misi bantuan kemanusiaan dalam kapal MV Rachel Corrie, Nizar menyifatkan rejim Zionis sebagai zalim dan rakus untuk mengagalkan misi tersebut.

Menurut beliau ini kerana terlalu banyak penipuan dan manipulasi dilakukan mereka termasuk pengalamannya dilayan dengan kejam sewaktu ditahan oleh tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa sewaktu dalam perjalanan ke Gaza.

Mohamad Nizar turut sama menukilkan kembali pengalaman beliau dalam perjalanan misi yang panjang sehingga ditangkap serta kapal dinaiki mereka ditunda ke Israel dan dimasukkan ke dalam penjara.

Terdahulu, jumlah kematian akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober lalu kini semakin meningkat sehingga melonjak kepada 10,328 orang.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin berkata antara yang terbunuh ialah 4,237 kanak-kanak dan 2,719 wanita manakala memetik laporan Anadolu, beliau berkata lebih 25,956 yang lain cedera akibat serangan rejim Zionis. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.