Pemuda UMNO Sedia Gempur Kemaman… Pastikan Gerak Kerja Mantap – Tengku Hafiz

KEMAMAN, 9 Nov – Menjelang Pilihan Rayu Kecil (PRK) Kemaman yang bakal diadakan pada 2 Disember depan, Pergerakan Pemuda UMNO telah melaksanakan gerak kerja bagi memastikan pelaksanaan mantap sepanjang tempoh berkempen kelak.

Exconya, Tengku Muhammad Hafiz Tengku Adnan yang diamanahkan sebagai Pengarah WarRoom Pemuda Malaysia terbabit memaklumkan bahawa jentera-jentera Pemuda UMNO telah siap siaga bagi meneruskan perjuangan parti dan mengembalikan sokongan orang muda kepada Barisan Nasional (BN).

“Perjuangan tidak pernah berhenti dan kita akan melaksanakan gerak kerja sebagaimana yang diamanahkan parti malah yakin ada ruang atau peluang yang boleh diraih menerusi PRK ini,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, semalam Pergerakan Pemuda UMNO telah mengadakan pertemuan dan sesi taklimat bersama anggota jentera Pemuda UMNO Kemaman bagi persediaan dilaksana selari dari pelbagai segi.

“Jentera Pemuda UMNO sudah bersedia dan akan bersama-sama jentera parti pelbagai peringkat bagi mengharungi apa-apa juga cabaran malah kita memahami bahawa PRK ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah.

“Namun kita percaya bahawa tidak ada yang mustahil bagi mencapai kejayaan sekiranya kita terus sepakat, bekerja sebaik mungkin dan melaksanakan amanah atas nilai perjuangan UMNO/BN.

“Apa yang pasti PRK ini adalah ruang terbaik kepada Pemuda UMNO untuk mendekati anak-anak muda tempatan dan menyalurkan maklumat berkaitan realiti semasa termasuklah keupayaan UMNO/BN dalam berkhidmat kepada rakyat,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kempen PRK Parlimen bermula pada 18 November depan iaitu hari penamaan calon.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.