Kes Najib: Hutang 1MDB Hampir Selesai… Kenapa Saman Sivil USD$8 Bilion Masih Diteruskan? – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa saman sivil terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak masih diteruskan meskipun hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hampir selesai.

Menurutnya, Mohd Najib telah dijadikan mangsa konspirasi dan 1MDB digunakan sebagai alat untuk menjatuhkan beliau.

“Makin lama makin terbukti, apa yang Najib buat sebelum ini adalah betul. High Speed Rail (HSR), East Coast Rail Link (ECRL), Pan Borneo, Good Sevice Tax (GST), Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) dan Mass Rapid Transit (MRT) 3.

“Sedihnya Najib mangsa konspirasi. 1MDB diguna untuk jatuhkan Najib. Ramai tidak sedar hutang 1MDB hampir selesai dibayar. Ini diumum oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan 7 November lalu.

“Setakat 30 September 2023 baki hutang 1MDB ialah RM5.15 Bilion. Dijangka pada tahun 2024, International Petroleum Investment Company (IPIC) akan bayar AS$1 bilion (RM4.65B). Bermakna hutang 1MDB selesai,” katanya menerusi hantaran di laman Faceboknya.

Ujarnya, hutang 1MDB sengaja dilengahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk menutup naratif bahawa duit tersebut dicuri oleh Najib.

“Sepatutnya hutang 1MDB sudah lama selesai. Tetapi Tun M sengaja melengahkannya. Itu akan menutup naratif duit 1MDB hilang dicuri oleh Najib.

“Malangnya ada pula pihak ambil kesempatan. Yuran guaman untuk tuntut hutang itu katanya ratusan juta ringgit. Elok disiasat kalau ada parti politik dapat habuan?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek bandar Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia oleh 1MDB hampir siap dan ianya bakal memberi pulangan besar kepada negara.

“Sekarang projek bandar TRX oleh 1MDB hampir siap. Ia beri pulangan besar kepada negara. Kalau projek Bandar Malaysia tidak diganggu juga menguntungkan negara.

“Persoalannya kenapa saman sivil menuntut USD$8 bilion dari Najib diteruskan? Masih mahu mengianiyai Najib sedangkan hutang 1MDB selesai? Cukup cukuplah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.