Sokong Kerajaan Perpaduan, Jelas PN Tidak Mampu Bawa Rakyat Ke Arah Lebih Baik

KOTA BHARU, 9 Nov – Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menyokong Kerajaan Perpaduan jelas menunjukkan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak mampu membawa rakyat ke arah yang lebih baik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, Mohd Azizi mengambil langkah tepat dan berani kerana mengambil kira kepentingan rakyat Gua Musang.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim kerana mengambil langkah tepat dan berani memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami difahamkan langkah itu diambil kerana mengambil kira kepentingan rakyat Gua Musang dalam mendapatkan peruntukan. Namun begitu beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di bawah Kerajaan Pas Kelantan.

“Adakah sokongan kepada Kerajaan Perpaduan ini dibuat hanya untuk kepentingan diri beliau sendiri? Ini kerana beliau juga menerima peruntukan sebagai ADUN Nenggiri di bawah Pas,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, ‘politiking’ berterusan tidak langsung menguntungkan rakyat dan sepanjang setahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, PN hilang arah tujuan untuk ‘menebuk atap’ dengan fitnah.

“Tindakan ini telah memberikan mesej yang jelas kepada rakyat bahawa PN merupakan sebuah gabungan yang tidak mampu untuk membawa rakyat ke arah yang lebih baik. Kami menyarankan beliau mengistiharkan untuk tidak menyokong Kerajaan PasKelantan di bawah kapasiti ADUN Nenggiri.

“’Politiking’ berterusan tidak langsung menguntungkan rakyat, sepanjang setahun selepas PRU 15, Perikatan Nasional jelas sudah hilang arah tujuan dan hanya memikirkan cara mahu ‘tebuk atap’ dengan rangkaian fitnah jahat dan keyakinan palsu yang diberikan kepada rakyat.

“Kami juga menyeru untuk rakyat Kelantan khususnya Gua Musang untuk sedar selama ini telah diperdayakan oleh golongan yang hanya membawa kepentingan diri sendiri berbanding memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Gua Musang daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Selasa.

Sokongan secara terbuka itu diumumkan menerusi satu kenyataan media yang dipaparkan menerusi laman Facebook rasminya.

Beliau turut memaklumkan keputusan itu dibuat bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.