UMNO Keningau Aplikasi Gerak Kerja Jadikan Budaya Hidup Sihat Sebagai Amalan

KENINGAU, 8 Nov – UMNO mengaplikasi amalan gaya hidup sihat sebagai alternatif terbaik untuk bersama-sama masyarakat setempat khususnya memastikan amalan seharian rakyat adalah berlandaskan kepada soal penjagaan kesihatan diri.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata amalan riadah tidak seharusnya dilakukan untuk waktu tertentu sahaja seperti semasa menyertai acara larian, sebaliknya perlu berterusan kerana amalan hidup sihat sepatutnya sebati dengan diri setiap individu.

“Betapa perlunya kita untuk beriadah, bersukan, menjalankan aktiviti fizikal, menjaga amalan pemakanan kita, pastikan cukup waktu rehat, jangan makan terlalu banyak makanan berlemak dan sebagainya,” katanya ketika berucap merasmikan Program Gaya Hidup Sihat di Kampung Bayangan di sini baru-baru ini.

Program yang dianjurkan bersama oleh UMNO Cawangan Kampung Bayangan dan Purakogis itu juga turut melancarkan kutipan Tabung Sumbangan Kemanusiaan Palestin.

Menurut Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah, jika amalan gaya hidup sihat diambil ringan dan tidak dijadikan rutin maka kemungkinan ia akan menyebabkan diri mudah jatuh sakit selain mendatangkan kemudaratan lain sehingga menjejaskan kualiti kehidupan

Nik Mohd Nadzri berkata, selain senaman perkara lain yang boleh dipraktikkan adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Katanya, di Malaysia pengambilan makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi dan gula yang banyak juga antara faktor ramai rakyat terutama anak muda mudah jatuh sakit.

Justeru amalan pemakanan sihat juga penting diamalkan dan sebolehnya jika dapat dikurangkan pengambilan garam dan gula sebaiknya dipraktikkan demi memastikan tahap kesihatan sentiasa baik.

Dalam perkembangan yang sama Nik Mohd Nadzri menyifatkan penganjuran acara itu sebagai ‘serampang dua mata’ kerana dalam masa sama turut mempupuk semangat muhibah dan kerjasama bukan sahaja di kalangan ahli parti namun melibatkan komuniti setempat.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bukan sahaja mengajak masyarakat mengamalkan budaya hidup sihat tapi ianya merupakan wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat setempat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.