Strategik Licik PN ‘Sudah Bercerai Tapi Tetap Tinggal Serumah’, Gerakan Halus Kaburi PM – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berpandangan pengumuman ahli Parlimen Gua Musang yang menyokong Perdana Menteri dengan menggunakan alasan demi rakyat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Jelasnya, ini kerana terdahulu sudah dua orang ahli Parlimen daripada Bersatu (Perikatan Nasional-PN) menyatakan sedemikian.

“Ini suatu gerakan yang sengaja dibuat oleh PN kerana ketiga-tiga mereka tersebut hanya digantung keahlian Bersatu, bukannya dipecat untuk menghalalkan status mereka sebagai ahli Parlimen tidak tergugur. Ini hanya satu ‘diversion game’ untuk mendapatkan peruntukan dan projek melalui mereka sahaja.

“Semua sedia maklum bahawa peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak pun disekat sama sekali. Mereka masih lagi menerima elaun-elaun yang ditetapkan. Cuma untuk lebih berkesan, kerajaan pusat menyalurkan terus peruntukan pembangunan kepada agensi terlibat bagi melancarkan penerimaan terus kepada rakyat di bawah secara bersasar.

“…dan ini ekoran banyak aduan telah diterima di tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu sebelum ini peruntukan bantuan hanya diberi dengan memilih bulu kepada ahli parti Pas dan Bersatu sahaja,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya Hariri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas mengharapkan gerakan halus daripada pihak pembangkang tidak mengaburi mata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya harap agar gerakan halus daripada PN ini tidak mengaburi mata Perdana Menteri dalam mengukuhkan sokongan. Perdana Menteri perlu melihat juga faktor keikhlasan dan kesetiaan dalam menilai ‘sokongan’ tiga ahli Parlimen itu ibarat kata pepatah ‘sudah bercerai tetapi tinggal serumah’.

“Di atas asbab keadilan inilah kerajaan pusat perlu terus menyalurkan bantuan terus ke sasaran melalui pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang akan melancarkan agihan,” jelas beliau.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang dari PN, Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.