Shabery Cheek Sedia Bantu BN Rampas Kerusi Parlimen Kemaman

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau bersedia membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bagi memastikan kemenangan gabungan politik itu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kekalahan BN dengan majoriti lebih 27,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah halangan besar bagi gabungan itu memenangi PRK tersebut kerana landskap politik sudah berubah.

Justeru, katanya, sokongan pengundi boleh beralih arah dan tiada parti boleh mendakwa bahawa ia kuat di kawasan tertentu.

“Keadaan boleh berubah, ada faktor kalau dicerahkan tentang soal prestasi yang telah ditunjukkan di Kemaman itu sendiri, kita tahu banyak perkara adalah hasil daripada BN dahulu. (Pengundi) Tolong buat perbandingan.

“Kalau perkara ini kita jelaskan, saya rasa rakyat akan menganggap BN adalah parti yang mempunyai rekod prestasi yang sangat baik di sana,” katanya kepada pemberita selepas temu bual oleh Bernama Radio di sini pada Selasa.

Ahmad Syabery turut mencadangkan agar BN mengemukakan calon muka baharu pada PRK itu.

“Saya rasa saya dah tua nak bertanding. Carilah muka-muka baharu. Saya pernah memberi khidmat saya di Kemaman.

“Saya bersyukur kerana telah diberikan peluang beberapa kali. Sewajarnya jika kali ini ada pertandingan, kita cari orang lain,” katanya yang menafikan bahawa beliau akan dicalonkan pada PRK itu.

PRK bagi Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada 26 September lepas.

Pada PRU15, Che Alias memperoleh 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Said daripada BN yang meraih 38,535 undi, calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).

BN pernah memenangi kerusi itu selama tiga penggal berturut-turut menerusi Ahmad Shabery sebelum beliau tewas pada PRU14. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.