Rakyat Malaysia Harus Waspada Terima Sebarang Tawaran Kerja Dari Luar Negara – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin mengingatkan semua warganegara Malaysia supaya sentiasa peka dan berwaspada apabila menerima sebarang tawaran pekerjaan menerusi platform media sosial yang meragukan.

Katanya, bagi mewujudkan kesedaran mengenai bahaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan ini, Kementerian Luar Negeri (KLN) telah memanfaatkan pelbagai platform yang tersedia seperti media sosial, media massa, media arus perdana dan hebahan secara fizikal bagi mempertingkatkan kesedaran rakyat Malaysia.

“Antara usaha yang dilakukan adalah hebahan kesedaran menggunakan infografik dan video serta dokumentari pengalaman sebenar mangsa ‘job scam’ yang dimuat naik di laman rasmi media sosial seperti Youtube dan Facebook KLN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu penyampaian taklimat kesedaran kepada pelajar-pelajar universiti serta pembukaan ruang reruai semasa Hari Wisma Putra pada 4 November lalu. Kerajaan juga akan meningkatkan lagi hebahan kesedaran ini kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia melalui pelbagai program seranta yang telah dirancang.

“Kerajaan sedar bahawa isu penipuan tawaran pekerjaan atau ‘job scam’ bersifat ‘cross-cutting’ yang memerlukan tindakan ‘Whole of Government’. Satu Jawatankuasa Khas yang diterajui oleh KLN telah ditubuhkan bagi menyelesaikan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan dengan melibatkan semua agensi-agensi yang berkaitan,” katanya pada sesi soal lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab persoalan lisan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah kaedah yang diambil untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengelak penipuan pekerjaan di Kemboja dan Myanmar yang masih sering berlaku dan apakah tindakan Kerajaan untuk menyelamatkan mereka.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis menjelaskan KLN telah berjaya membawa pulang seramai 518 orang dan sejurus kembali ke tanah air, mangsa-mangsa diambil keterangan oleh PDRM untuk membantu siasatan.

“Kementerian juga sedang berusaha untuk mengenal pasti 26 orang mangsa warganegara Malaysia di Laukkaing, Myanmar yang terlibat dalam sindiket ‘job scam’ melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar dengan kerjasama antara negara Thailand, Vietnam, Filipina dan China. KLN juga sedang menyelaras dan menggunakan segala alternatif bagi membawa pulang mangsa sindiket penipuan pekerjaan berkenaan dengan selamat,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau berkata KLN telah menjalin kerjasama dengan perwakilan diplomatik bagi mengesan mangsa yang masih berada di sana.

“KLN telah menggunakan jalinan usaha sama antara Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara bersama pihak berkuasa tempatan untuk mengesan, menyelamat dan memberikan bantuan konsular kepada mangsa seperti memudahcara proses dokumentasi dan pengeluaran ‘Sijil Perakuan Cemas’ agar membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

“KLN turut terlibat dalam lawatan bersama PDRM ke Kemboja dan Thailand pada awal tahun ini bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan yang terlibat,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.