Penurunan Peratus Mengundi, Peningkatan Kos Haji Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Penurunan peratusan keluar mengundi serta peningkatan kos mengerjakan haji antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) bertanyakan Perdana Menteri sebab penurunan dalam peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13, 14 dan 15 dan usaha dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangani permasalahan itu, dalam sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) menyatakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos mengerjakan haji serta syarat dan kelayakan baharu yang ditetapkan.

Selain itu, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) inginkan penjelasan Menteri Pertahanan sama ada kerajaan berhasrat menilai semula pencen 21 tahun perkhidmatan untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia memandangkan mereka masih muda dan mempunyai komitmen terhadap keluarga.

Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang di peringkat itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 November ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lalu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.