Kerajaan Tidak Akan Berkompromi, Ambil Tindakan Tegas Mana-Mana Individu Niat Ancam Keselamatan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang berniat mengancam keselamatan negara dan menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk.

Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) bilangan 2023 bagi membincangkan isu terkini berhubung ancaman keselamatan negara.

“Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (High Level Committee – HLC) Kawalan Keganasan (JPTKK) yang memperlihatkan tumpuan serius oleh kerajaan dengan membincangkan isu-isu terkini berhubung ancaman keselamatan di Malaysia, mengenalpasti strategi bagi menangani isu-isu keselamatan secara komprehensif, penambahbaikan mekanisme pengurusan krisis keganasan, memantau pengurusan krisis keganasan dan pelaksanaan counter-narrative anti keganasan secara holistik.

“Di peringkat domestik, ancaman keganasan ditangani melalui tindakan counter-radicalization bagi mengekang aktiviti penyebaran fahaman dan ideologi khususnya dalam talian serta program-program pembinaan masyarakat sebagai preventive measures.

“Pelaksanaan program-program kesedaran turut dilaksanakan berdasarkan tiga teras iaitu patriotisme, keagamaan dan langkah pencegahan melalui siaran program di televisyen, penerbitan, siaran radio, media sosial dan ceramah kesedaran,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, beliau turut membangkitkan mengenai langkah pembendungan terhadap aktiviti yang menjurus kepada keganasan dalam kalangan masyarakat.

“JPTKK ini akan menjadi asas kepada langkah pembendungan ini agar rakyat Malaysia bebas dari sebarang pengaruh pemikiran yang menjurus kepada keganasan yang boleh mengancam dan merosakkan reputasi negara.

“Langkah pembendungan ini juga merangkumi aktiviti pemantauan berterusan terhadap teknologi komunikasi seperti media sosial dan gaming yang turut berpotensi dijadikan sebagai medium untuk menyebarkan propaganda keganasan.

“Keadaan geopolitik terkini juga dilihat mampu mempengaruhi perluasan aktiviti-aktiviti kegiatan keganasan dan berpotensi untuk mengeksploitasi isu-isu semasa yang sensitif terutamanya terhadap umat Islam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ancaman utama di peringkat global masih kekal menjadi ancaman utama.

“Pada masa ini, trend dan perkembangan semasa isu dan ancaman keganasan di Malaysia dan luar negara dapat memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara. Ancaman utama di peringkat global meskipun dilihat mengalami penurunan sejak tahun 2020, namun masih terdapat dua kumpulan utama yang masih kekal menjadi ancaman pengganas utama global iaitu kumpulan Al-Qaeda dan DAESH dan usaha berterusan melalui operasi Counter Terrorism masih belum berjaya menangkis ancaman ini sepenuhnya.

“Kerajaan turut memantau situasi terkini dan melakukan pengemaskinian makluman individu dan entiti yang tersenarai oleh negara-negara anggota melalui platform Jawatankuasa 1267 yang ditubuhkan di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia turut terlibat secara aktif dalam menjalani Penilaian Bersama (Mutual Evaluation) 2024-2025 yang diterajui oleh Financial Action Task Force (FATF), sebuah badan antarabangsa yang diwujudkan bagi tujuan menilai tahap pematuhan dan keberkesanan negara-negara anggota terhadap piawaian antarabangsa dalam memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa keadaan di Gaza dan perkara-perkara yang berkaitan sokongan terhadap Palestin turut dibincangkan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara dan menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun.

“Mesyuarat turut membincangkan perkembangan keadaan di Gaza dan perkara-perkara yang berkaitan tentang sokongan terhadap rakyat Palestin di dalam negara bagi memastikan ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.