Drama ‘Katak Politik’ Pembangkang, Takut Lompat Parti Tapi Guna Istilah Sokong Kerajaan – Akmal

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak ahli-ahli Parlimen pembangkang agar berhenti daripada memainkan drama politik.

Katanya, rakyat begitu muak dengan drama dimainkan mereka terutama yang menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Menurut beliau, mereka sengaja menggunakan istilah menyokong kerajaan kerana pada ketika ini akta anti lompat parti telah dikuatkuasakan.

“Cukup-cukuplah dengan drama politik sebelum ini, rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik tersebut!

“Apabila akta anti lompat parti dibawa adalah bertujuan untuk menghalang katak-katak politik untuk melompat sesuka hati sekaligus tidak ada lagi drama politik yang berpanjangan dan wakil rakyat yang dipilih boleh terus fokus untuk berkhidmat bagi rakyat yang memilih mereka dan parti yang mereka wakili.

“Tetapi rupa-rupanya walaupun akta anti lompat parti telah diluluskan katak-katak ini tetap melompat menggunakan nama yang lain sahaja iaitu menyokong kerajaan tanpa keluar parti. Jadi nama yang digunakan walaupun berbeza tetap sama tujuannya untuk katak-katak ini melompat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai sokongan ahli Parlimen terhadap kerajaan.

“Saya mohon agar PMX untuk menilai semula mereka-mereka yang melompat ini agar agenda reformasi parlimen dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai tujuan sebenar reformasi tersebut.

“Kini adalah masa untuk fokus membantu rakyat,” ujar beliau.

Terdahulu, pada Oktober, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri.

Seterusnya yang terbaharu Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik turut mengambil keputusan yang sama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.