Permohonan Lesen Bank Digital Lalui Penilaian Teliti BNM – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kesemua 29 permohonan yang diterima oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan lesen Bank Digital telah melalui penilaian penuh teliti.

Katanya langkah itu selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 iaitu Akta 758 bagi pemohon lesen bank digital dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 di bawah Akta 759 bagi pemohon lesen bank Islam digital.

“Dalam menilai kesemua permohonan katanya, BNM mengambil kira faktor dalam jadual lima akta-akta tersebut dan keperluan dasar lain yang berkaitan.

“Pertimbangan utama dalam penilaian semua lesen bank digital adalah keupayaan bank digital untuk beroperasi dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Yuneswaran Ramaraj (PH- Segamat) pada sesi soal lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Ahmad Maslan, lima lesen telah diberi pada 29 April 2022 melalui kewibawaan dan integriti pemohon, kecukupan sumber kewangan, kekukuhan pelan perniagaan dan teknologi serta keupayaan untuk menangani jurang rangkuman kewangan secara berkesan.

“Secara lebih mendalam, gambaran keseluruhan kriteria penilaian yang digunapakai oleh BNM adalah seperti kehematan iaitu mantapan dan kebolehlaksanaan pelan perniagaan, kecukupan sumber kewangan, rekod prestasi dan pengalaman perniagaan; kesesuaian kumpulan untuk diselia; kewibawaan dan integriti pemegang saham; pelan perniagaan tidak bercanggah dengan syariah dan kemantapan pelan keluar.

“Teknologi ialah kemantapan teknologi asas yang menyokong strategi digital, keupayaan pengurusan risiko teknologi dan siber, kemahiran dan rekod prestasi perniagaan digital yang berjaya, strategi awan dan pelan pengurusan risiko awan dan pelan kesinambungan perniagaan.

“Rangkuman kewangan iaitu kaitan segmen sasaran dengan segmen yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan, keupayaan untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan segmen tersebut, pengalaman dan komitmen dalam peruntukan perkhidmatan kewangan untuk matlamat rangkuman kewangan, penerapan teknologi data inovatif dan keberkesanan saluran penyampaian.

“Mengutamakan kepentingan malaysia, kesan terhadap kestabilan sistem kewangan; dan kesan pelaburan terhadap tahap dan ciri kegiatan ekonomi di Malaysia.

Tambah beliau lagi, lima pemohon yang berjaya telah mengemukakan nilai cadangan disokong oleh pemahaman mendalam tentang segmen sasaran iaitu golongan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan serta golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Ujar Ahli Parlimen Pontian itu lagi ini termasuklah dalam kalangan perniagaan kecil dan pekerja ekonomi gig.

“Bank-bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan kepada segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

“Melalui penggunaan teknologi yang menyeluruh, bank digital boleh memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.