Malaysia Antara Negara Paling Lantang Suarakan Hak Rakyat Palestin – Zambry

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Malaysia antara negara yang paling lantang dalam menyuarakan penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di peringkat antarabangsa, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa berhubung dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi menyatakan pendirian Malaysia melalui pertemuan dan panggilan telefon.

“Kita antara negara yang paling aktif. Saya dan juga Perdana Menteri mengambil inisiatif untuk melakukan yang terbaik berjumpa dengan pemimpin-pemimpin dunia menyampaikan mesej Malaysia untuk mencari jalan bagaimana hendak selesaikan masalah ini dengan kadar yang segera dengan penderitaan rakyat Palestin hari-hari di bom.

“Malah saya sendiri pergi ke luar negara, siang dan malam berhubung dengan rakan-rakan sejawat saya dari seluruh dunia. Selain daripada itu juga kita menggerakkan untuk diadakan pertemuan-pertemuan menerusi sidang kemuncak, kita tahu apa yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin dunia khususnya dalam konteks Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sebagainya.

“Usaha-usaha ini memerlukan masa dan usaha yang bersungguh-sungguh, bukan hanya boleh ditulis dan angkat telefon namun memerlukan hubungan dan komitmen yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui UMNO Online secara eksklusif baru-baru ini.


Menurut beliau, kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara juga antara langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggembleng strategi dan usaha bersama dalam membantu rakyat Palestin ketika ini termasuk menghantar bekalan barangan dan kelengkapan.

“Kita lakukan pelbagai pendekatan termasuk juga melalui proses diplomasi, hubungan yang dilakukan bersama pelbagai pihak. Selain daripada itu juga lihat bagaimana kita menggerakkan dalam bentuk bantuan material.

“Selain itu, kita juga menyatukan semua penggerak-penggerak negara. Alhamdulillah berkat dengan jalinan hubungan yang kita buat bersama NGO. Kerana sebelum ini kita tahu bahawa usaha-usaha untuk membantu rakyat Palestin ini masing-masing ikut hala tuju yang berbeza. Dan kali ini kesemua 45 NGO duduk bersama dengan Kementerian Luar, kita gabungkan usaha ini untuk kita bantu rakyat Palestin,” ujar beliau.

Pada Jumaat, Malaysia melakukan penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin membabitkan keperluan perubatan dan barangan lain sebanyak 20 tan, sebelum diikuti penghantaran kedua sebanyak 30 tan yang dijadual pada 10 November ini.

Penghantaran pertama itu turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Zambry berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish Mesir dan dibawa masuk melalui sempadan Rafah dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Beliau dalam pada itu turut sama mengulas berkenaan tindakan kerajaan yang telah mengambil bahagian dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mendapatkan penasihat berhubung isu Palestin dan bercadang untuk menyertai sesi lisan pada Februari akan datang.

“Kita bukan ahli kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana ini memerlukan kita menjadi ahli statut rom dan kalau kita menjadi itu maknanya kita boleh membuatnya tetapi ada aspek-aspek tertentu yang kita fikirkan akan menjadi halangan kepada banyak negara yang tidak menganggotai.

“Namun melalui ICJ dan nampak kita juga bergerak melalui badan-badan lain serta usaha yang dibuat oleh pendakwa raya tertentu untuk kita bawa secara bersama dengan sokongan daripada beberapa buah negara yang lain,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.