‘Kembalikan Senyuman Kepada Mereka’… Wanita UMNO Gerakkan Tabung Untuk Palestin Ke Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Wanita UMNO Malaysia melancarkan tabung Palestin ‘Kembalikan Senyuman Kepada Mereka’ untuk digerakkan ke seluruh negara.

Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman berkata ianya sebagai simbolik keprihatinan Wanita UMNO Malaysia kepada rakyat Palestin yang dinafikan hak untuk berada di tanah air mereka sendiri.

“Skuad Sayang juga dapat merasai keperitan rakyat Palestin terutama kepada mangsa wanita dan kanak-kanak yang terkorban dan cedera termasuklah anak-anak yang telah kehilangan ibu bapa yang menjadi anak yatim.

“Justeru itu kami mengambil inisiatif untuk mengutip sumbangan bagi membantu mereka yang sangat memerlukan. Tabung ini diserahkan kepada semua Wanita UMNO Negeri untuk membuat kutipan sehingga 10 November,” katanya.

Hasil daripada sumbangan ini akan diserahkan kepada UMNO Malaysia untuk dikumpulkan sebelum diserahkan kepada rakyat Palestin.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang boleh diberikan menerusi 5642 5860 1083 (Maybank – Kelab Skuad Sayang 3K Kebangsaan) atau menghubungi Siti Jumaeah di 019 348 8344 untuk sebarang pertanyaan.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 27 Nov lalu melancarkan tabung ini pada majlis solat hajat sebagai tanda keprihatinan dengan perkembangan semasa umat Islam di Gaza dan tanda solidariti ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dianjurkan di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur majlis tersebut dibimbing oleh Ustazah Rosnah Yasis untuk solat hajat, bacaan yasin dan doa selamat.

Situasi di Palestin semakin merucing apabila Kementerian Kesihatan Gaza berkata lebih 9,500 rakyat mereka telah terbunuh di wilayah itu dalam hampir sebulan perang dan jumlah itu mungkin meningkat apabila serangan berterusan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.